CCTV di TASKA dan TADIKA di Malaysia: Adakah Wajib dan Adakah Ibu Bapa Berhak Mengakses Rakaman?

• Adakah semua TASKA dan TADIKA wajib memasang CCTV?
• Adakah ibu bapa mempunyai hak untuk melihat rakaman CCTV anak mereka?
• Adakah ibu bapa boleh diberikan live access melalui aplikasi telefon?
• Bolehkah ibu bapa mendapatkan salinan rakaman?
• Bagaimanakah privasi kanak-kanak lain perlu dilindungi?
1. Kerangka Undang-Undang TASKA dan TADIKA
TASKA
TASKA menyediakan penjagaan dan pendidikan awal bagi kanak-kanak di bawah umur empat tahun dan tertakluk kepada pendaftaran serta pengawalseliaan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (“JKM”) di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.
JKM telah menetapkan keperluan pemasangan CCTV bagi TASKA berdaftar. Panduan permohonan pendaftaran TASKA JKM juga menyenaraikan bukti pemasangan CCTV, dengan pengecualian bagi TASKA Di Rumah.
Keperluan CCTV ini diperincikan lagi dalam Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di Taman Asuhan Kanak-Kanak Berdaftar, yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2024.
Kerajaan turut mengesahkan bahawa garis panduan tersebut memperincikan keperluan pemasangan CCTV di TASKA.
TADIKA
Kedudukannya berbeza bagi TADIKA swasta yang dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (“KPM”).
Berdasarkan jawapan Parlimen, pemasangan CCTV tidak diwajibkan bagi TADIKA swasta, walaupun TADIKA swasta berdaftar perlu mempunyai polisi keselamatan, kesihatan dan kebersihan masing-masing.
Oleh itu, adalah penting untuk membezakan keperluan CCTV bagi TASKA dan TADIKA, kerana kedua-duanya tertakluk kepada kerangka pengawalseliaan yang berbeza.
2. Adakah Ibu Bapa Boleh Melihat CCTV?
Sekiranya berlaku sesuatu insiden atau aduan yang melibatkan kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga boleh memohon kepada pengusaha TASKA untuk melihat rakaman CCTV yang berkaitan.
Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermaksud ibu bapa mempunyai hak untuk mendapatkan akses CCTV secara live 24/7.
Permohonan tersebut perlu dikendalikan dengan mengambil kira tujuan permohonan, rakaman yang relevan serta privasi pihak lain yang turut dirakam.
3. Adakah Ibu Bapa Wajib Membuat Laporan Polis Terlebih Dahulu?
Garis panduan JKM menetapkan bahawa rekod rakaman CCTV perlu dikemukakan kepada PDRM sekiranya berlaku apa-apa insiden yang menjejaskan keselamatan kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut tidak, dengan sendirinya, menyatakan bahawa ibu bapa wajib membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum mereka boleh memohon untuk melihat rakaman CCTV.
Ini juga perlu dibezakan daripada keadaan di mana sesuatu insiden mempunyai unsur kesalahan atau menjejaskan keselamatan kanak-kanak, yang mungkin memerlukan rujukan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
4. Apakah yang Boleh Ibu Bapa Buat Jika Mengesyaki CCTV Telah Disunting?
Jika ibu bapa mengesyaki rakaman CCTV telah dipotong, diubah atau tidak diberikan sepenuhnya, ibu bapa boleh:
4.1 Minta rakaman asal dan penjelasan daripada TASKA
4.2 Buat aduan kepada JKM
4.3 Buat laporan polis jika terdapat unsur kesalahan
4.4 Pertimbangkan aduan di bawah PDPA
Jika isu melibatkan penyalahgunaan, akses tanpa kebenaran, pengubahan atau pengendalian data CCTV yang tidak wajar, ibu bapa boleh mempertimbangkan aduan kepada Jabatan Perlindungan Data Peribadi (“JPDP”), tertakluk kepada pemakaian Personal Data Protection Act 2010 [Act 709] (“PDPA”).
5. Bagaimana pula dengan PDPA?
Imej yang dirakam melalui CCTV boleh merupakan data peribadi kerana individu yang dirakam boleh dikenal pasti. JPDP sendiri menyenaraikan gambar dan imej dalam rakaman CCTV sebagai contoh data peribadi.
Oleh itu, pemberian keseluruhan rakaman kepada seorang ibu bapa berpotensi mendedahkan data peribadi pihak ketiga.
Atas sebab itu, permintaan akses CCTV hendaklah dikendalikan secara terkawal dan dengan mengambil kira kepentingan serta privasi pihak lain yang turut dirakam.
Artikel ini disediakan untuk tujuan maklumat umum sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat undang-undang bagi mana-mana keadaan atau fakta tertentu.