WASIAT WAJIBAH
Apakah Wasiat Wajibah?
Wasiat Wajibah ialah peruntukan undang-undang yang membolehkan sebahagian daripada harta pusaka diberikan kepada waris tertentu yang tidak layak menerima harta melalui sistem faraid biasa, walaupun Si Mati tidak pernah membuat sebarang wasiat semasa hayatnya. Ia terpakai secara automatik mengikut peruntukan undang-undang, bukan bergantung kepada kehendak Si Mati.
Siapakah Yang Layak Menerima Wasiat Wajibah?
Cucu yang bapa atau ibunya (anak kepada Si Mati) telah meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek mereka. Dalam keadaan ini, cucu tersebut tidak termasuk dalam senarai waris faraid kerana kedudukannya terhalang oleh anak-anak Si Mati yang lain yang masih hidup.
Apakah Bezanya Wasiat Wajibah Dengan Wasiat Biasa?
Wasiat biasa dibuat secara sukarela oleh Pewasiat semasa hayatnya dan boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dipilih (jika kepada waris faraid, tertakluk kepada syarat tertentu). Wasiat Wajibah pula terpakai secara automatik mengikut undang-undang, tanpa memerlukan dokumen wasiat bertulis namun terpakai kepada golongan tertentu sahaja.
Adakah Wasiat Wajibah Tertakluk Kepada Had Tertentu?
Pada umumnya peruntukan Wasiat Wajibah tertakluk kepada had tertentu daripada jumlah keseluruhan harta pusaka, sebagaimana had yang terpakai kepada wasiat biasa. Walau bagaimanapun, pengiraan sebenar bergantung kepada fakta kes, jumlah waris, dan harta yang terlibat.
Bagaimana Jika Waris Lain Tidak Bersetuju Dengan Tuntutan Wasiat Wajibah?
Situasi ini kebiasaannya berlaku kerana waris lain tidak tahu kewujudan peruntukan ini atau risau ia akan menjejaskan bahagian faraid mereka. Namun begitu, bantahan atau ketidaksetujuan waris lain tidak semestinya membatalkan hak tersebut kerana keputusan muktamad mengenai kelayakan dan jumlah Wasiat Wajibah pada keputusan Mahkamah Syariah.
Kenapa Ramai Yang Terlepas Pandang Isu Ini?
Isu Wasiat Wajibah sering disedari apabila sudah terlambat, iaitu selepas pembahagian pusaka bermula atau apabila cucu mendapati nama mereka tiada dalam senarai waris. Pada ketika itu, proses untuk menuntut hak ini menjadi lebih rumit berbanding jika dikenal pasti dari awal. Kebanyakan keluarga hanya sedar hak ini wujud selepas pertikaian tercetus sedangkan banyak kerumitan boleh dielakkan andainya susunan waris dinilai dari awal.