Nurfarhana Binti Mohd Idros merupakan seorang Peguam Syarie yang berpengalaman yang mana telah memulakan kariernya sebagai Peguam Syarie dengan menjadi pelatih dalam kamar (Chambering) di Tetuan Azaine & Fakhrul daripada tahun 2017 dan kemudiannya bergiat aktif menjadi seorang Peguam Syarie bagi Wilayah-wilayah Persekutuan sehingga kini.

Nurfarhana merupakan seorang lepasan Ijazah Sarjana Muda (Syariah) Dengan Kepujian daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan juga memegang Diploma Pentadbiran Kehakiman Islam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau terlibat secara aktif dalam bidang guaman syarie terutamanya dalam kes-kes Syariah termasuklah kes-kes berkaitan permasalahan undang-undang keluarga Islam seperti perceraian, harta sepencarian, permohonan kebenaran poligami, pengesahan nikah, tuntutan-tuntutan selepas perceraian, hak jagaan anak (Hadhanah), permohonan Faraid dan sebagainya.

Selain daripada kes-kes yang biasa difailkan di Mahkamah Syariah, beliau juga berpengalaman dalam kes-kes yang jarang difailkan di Mahkamah Syariah seperti kes yang melibatkan transaksi hutang harta sepencarian iaitu kes Hiwalah yang bernilai lebih kurang RM1.5 Juta, Saman Penghutang Penghakiman dan kes-kes pelaksanaan perintah yang lain.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan beliau, beliau turut terlibat dalam membantu mengendalikan kes berkaitan pengurusan Harta Pusaka Orang Islam yang rumit seperti kes Faraid termasuk Faraid berlapis, Wasiat Wajibah, Pengesahan Wasiat dan juga menyediakan dokumen-dokumen berkaitan Hibah dan Wasiat.

Beliau percaya sebagai Peguam Syarie, setiap kebenaran perlu ditegakkan dan setiap kebatilan perlu ditumpaskan dengan keadilan melalui medan perjuangan undang-undang yang sedia ada. Bagi beliau, setiap permasalahan undang-undang pasti ada jalan penyelesaiannya sekiranya undang-undang yang sedia ada digunakan dengan betul dan mengikut saluran yang betul.