WALI HAKIM: BILAKAH IA DIPERLUKAN DALAM SESUATU PERNIKAHAN?

Wali merupakan salah satu rukun wajib dalam pernikahan Islam. Tanpa wali yang sah, sesuatu akad nikah tidak boleh dianggap sempurna. Wali utama ialah wali nasab, iaitu bapa kandung pengantin perempuan, dan jika tiada, perlu mengikut susunan keutamaan seperti datuk sebelah bapa dan adik-beradik lelaki.
Namun, dalam keadaan tertentu di mana wali nasab tidak dapat atau tidak layak bertindak, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk melantik seorang Wali Hakim bagi menggantikan tempat wali nasab tersebut. Ramai pasangan tidak menyedari hak ini wujud, atau tersilap langkah semasa memohon sehingga menjejaskan pernikahan mereka.
Bila Wali Hakim Diperlukan?
Antara situasi yang lazim membenarkan pelantikan Wali Hakim:
- Wali telah meninggal dunia (tanpa wali gantian yang sah mengikut susunan keutamaan)
- Wali enggan
- Wali tidak dapat dikesan
- Wali berada di luar negara (dan tidak dapat memberi wakil kuasa dengan sempurna mengikut prosedur yang ditetapkan)
- Wali tidak layak dari segi syarak
- Pengantin perempuan anak tidak sah taraf
- Pengantin perempuan muallaf (tiada wali yang yang beragama Islam)
Setiap situasi di atas mempunyai keperluan bukti dan pendekatan yang berbeza. Sebagai contoh, kes “wali enggan” memerlukan Mahkamah untuk menentukan sama ada keengganan tersebut mempunyai sebab yang munasabah di sisi syarak atau tidak.
Kenapa Prosedur Ini Penting?
Pelantikan Wali Hakim bukan sekadar formaliti pentadbiran, ia melibatkan penilaian Mahkamah terhadap fakta dan bukti sebelum kelulusan diberikan. Sesuatu pernikahan yang dilangsungkan dengan Wali Hakim tanpa kebenaran mahkamah yang sah berisiko dianggap tidak sah di sisi undang-undang, walaupun akad nikah itu sendiri kelihatan sempurna.
Apa Yang Perlu Diketahui?
Setiap kes Wali Hakim bergantung kepada fakta dan latar belakang yang berbeza. Begitu juga dengan keperluan dokumen, bukti, dan Mahkamah yang berbidang kuasa. Oleh sebab itu, sesuatu permohonan yang tidak dinilai dengan teliti berisiko mengalami kelewatan, atau lebih membimbangkan menjejaskan kesahihan pernikahan itu sendiri.