Soalan Lazim: Hak Jagaan Anak (Hadhanah)

Spread the love
  1. Selepas perceraian berlaku, siapakah yang paling layak untuk mendapat hak jagaan?

    Jika pasangan suami isteri bercerai dan ketika itu anak-anak mereka (lelaki atau perempuan) belum mencapai usia mumaiyyiz, ibu adalah lebih berhak menjaganya berbanding orang lain kecuali jika ibu tersebut telah hilang kelayakan/ gugur hak sebagai penjaga.

  2. Apakah alasan yang membolehkan seseorang wanita itu hilang kelayakan atau gugur hak sebagai penjaga?

    Berdasarkan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, seseorang wanita boleh hilang kelayakan disebabkan:

    1. Jika wanita itu berkahwin lain dengan lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak tersebut dan apabila wanita itu terus menjaga mereka, ia akan menjejaskan kebajikan kanak-anak tersebut.
    2. Jika wanita itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
    3. Jika wanita itu menukar tempat pemastutinannya bertujuan untuk mencegah kanak-kanak tersebut dari pengawasan bapanya kecuali jika wanita itu pulang ke tempat lahirnya selepas perceraian.
    4. Jika wanita itu cuai atau menganiayai kanak-kanak tersebut.
    5. Murtad.
  3. Jika seorang wanita/ibu hilang kelayakan, siapa yang layak untuk menjaga anak-anak tersebut?

    Apabila seorang wnaita hilang kelayakan, susunan keutamaan kepada hak jagaan anak adalah seperti berikut:

    1. nenek sebelah ibu hingga ke atas;
    2. bapa;
    3. nenek sebelah bapa hingga ke atas;
    4. kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
    5. kakak atau adik perempuan seibu;
    6. kakak atau adik perempuan sebapa;
    7. anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
    8. anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
    9. anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
    10. emak saudara sebelah ibu;
    11. emak saudara sebelah bapa;
    12. waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:
  4. Apakah syarat yang melayakkan saya mendapat hak jagaan anak saya?

    Selain dari susunan keutamaan yang dinyatakan di atas, syarat kelayakan seorang penjaga ialah:

    1. Islam;
    2. Sempurna akal;
    3. Berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
    4. Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah;
    5. Tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
  5. Berapa lamakah tempoh hak jagaan tersebut berkuatkuasa?

    Tempoh hak jagaan tersebut tamat setelah kanak-kanak tersebut mencapai umur mumayiz iaitu 7 tahun (lelaki) dan 9 tahun (perempuan). Selepas kanak-kanak tersebut mencapai umur mumaiyiz, mereka berhak memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya, melainkan Mahkamah memerintahkan sebaliknya.

  6. Saya dan bekas suami mempunyai anak luar nikah sebelum kami berkahwin. Adakah bekas suami saya boleh menuntut hak jagaan ke atas anak tersebut?

    Hak jagaan bagi anak luar nikah/ tidak sah taraf adalah hanya kepada ibu kandung anak tersebut dan saudara mara ibunya sahaja.

  7. Saya dan suami ingin bercerai dan mahu menyelesaikan hak jagan secara damai. Apakah yang boleh kami lakukan?

    Jika kedua pihak (ibu dan bapa) telah berbincang dan mencapai persetujuan secara bersama berkenaan isu/terma hak jagaan anak, mereka boleh membuat suatu perjanjian bertulis dan memohon di Mahkamah Syariah untuk menjadikan perjanjian tersebut sebagai suatu Perintah Mahkamah.

  8. Saya dan suami telah mengambil seorang anak angkat dan telah mendaftarkan pengangkatan tersebut. Jika berlaku perceraian di antara saya dan suami, siapakah yang berhak ke atas hak jagaan anak angkat itu?

    Akta/ Enakmen Keluarga Islam di Malaysia tidak memperuntukkan secara khusus berkenaan hak jagaan anak melibatkan anak angkat. Namun dari segi amalannya, apabila pasangan ibu bapa angkat bercerai, pada kebiasaannya keutamaan hak jagaan tersebut akan diberikan kepada ibu angkat melainkan jika ibu angkat tersebut didapati tidak memnuhi kelayakan sebagai seorang penjaga.

  9. Bagaimanakah jika saya ingin memfailkan tuntutan Hak Jagaan Anak di Mahkamah Syariah?

    Permohonan Hak Jagaan tersebut boleh difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah negeri pihak pemohon bermastautin. Pihak pemohon juga boleh melantik Peguam Syarie untuk membantu dan mewakili beliau dalam tuntutan tersebut.

Artikel ini disediakan oleh
Nursahila binti Ayub
Associate,  Abdul, Low & Partners

Soalan Lazim: Faraid

Sep 29, 2022  
Spread the loveSoalan Lazim: Faraid Harta apa yang boleh difaraidkan? J: Harta yang didaftarkan di bawah nama Si Mati seperti: a) Harta Tak Alih: tanah dan rumah. b) Harta Alih: wang simpanan bank, saham, KWSP,...

Soalan Lazim: Wasiat

Sep 29, 2022  
Spread the loveSoalan Lazim: Wasiat  Apakah wasiat? J: Wasiat adalah pemberian oleh pewasiat kepada penerima wasiat sama ada dalam bentuk benda, hutang atau manfaat untuk dimilik dan pemberian tersebut dilaksanakan selepas pewasiat meninggal dunia. Apakah...

Solan Lazim: Hibah

Sep 29, 2022  
Spread the loveSolan Lazim: Hibah Apakah Hibah? J: Hibah adalah pemberian harta secara kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki ketika Penghibah masih hidup dan tanpa balasan. Adakah saya perlu mendapatkan persetujuan ahli waris yang lain...

Permasalahan Dalam Pengurusan Dan Pembahagian Harta Pusaka

Sep 2, 2021  
Spread the lovePENDAHULUAN Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Anbiya’ 21:35) Yang bermaksud : “Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan...
Send Us Inquiries/ Message/ Feedback :