Soalan Lazim: Faraid

Spread the love

Soalan Lazim: Faraid

  1. Harta apa yang boleh difaraidkan?

    J: Harta yang didaftarkan di bawah nama Si Mati seperti:
    a) Harta Tak Alih: tanah dan rumah.
    b) Harta Alih: wang simpanan bank, saham, KWSP, Tabung Haji, iInsurans, barang kemas dan lain-lain.

  2. Selepas saya meninggal dunia, siapa yang boleh memohon Perintah Faraid ke atas harta pusaka saya?

    J: Mana-mana ahli waris anda boleh menjadi Pemohon bagi mendapatkan Perintah/Sijil Faraid di Mahkamah Syariah.

  3. Siapakah yang layak untuk menerima harta pusaka saya?

    J: Hanya ahli waris tertentu sahaja yang layak menerima harta pusaka anda seperti pasangan, anak dan ibu bapa. Namun dalam situasi tertentu, waris-waris lain seperti datuk, nenek saudara lelaki/perempuan (adik-beradik), bapa saudara, dan lain-lain turut layak menerima harta pusaka anda.

  4. Saya telah menganut agama Islam dan ibu bapa saya masih belum memeluk Islam. Adakah mereka akan mewarisi harta pusaka saya selepas saya meninggal dunia?

    J: Tidak boleh kerana hanya orang Islam sahaja boleh mewarisi daripada orang Islam. Namun anda masih boleh memberikan sebahagian dari harta milik anda kepada ahli keluarga bukan Islam melalui hibah atau wasiat.

  5. Saya dan suami/isteri ada membeli rumah di bawah nama kami berdua. Bagaimana jika salah seorang pihak meninggal dunia?

    J: Bagi rumah/harta yang didaftarkan di bawah dua nama, setiap pemilik secara langsung mempunyai hakmilik sebanyak 50% melainkan jika terdapatkan Perintah Mahkamah lain yang telah menetapkan bahagian tertentu bagi setiap pemilik. Maka hanya bahagian pemilik yang telah meninggal dunia sahaja akan difaraidkan.

  6. Saya telah bercerai dengan isteri saya, adakah bekas isteri saya masih boleh menuntut hak ke atas harta pusaka saya selepas kematian saya?

    J: Tidak kerana selepas berlaku perceraian, bekas isteri tidak lagi dikira sebagai ahli waris dan tidak boleh mewarisi harta anda.

  7. Saya adalah anak angkat yang berdaftar. Sekiranya ibu bapa angkat saya meninggal dunia, bolehkah saya mewarisi harta pusaka mereka kerana mereka tiada anak kandung?

    J: Tidak. Anak angkat tidak boleh mewarisi harta pusaka ibu bapa angkatnya melainkan ibu bapa angkat tersebut memberikan sebahagian harta milik mereka kepada anak anda melalui hibah atau wasiat.

  8. Saya anak tidak sah taraf. Bolehkah saya mewarisi harta pusaka ibu bapa sebenar saya?

    J: Anda hanya boleh mewarisi harta pusaka milik ibu sahaja.

  9. Saya meletakkan nama isteri saya sebagai penama KWSP saya. Jika saya meninggal dunia, adakah isteri saya akan menerima kesemua wang KWSP saya?

    J: Isteri anda boleh mengeluarkan keseluruhan wang KWSP tersebut namun beliau hanya bertanggungjawab sebagai wasi/pentadbir sahaja. Wang KWSP tersebut tetap perlu dibahagikan kepada ahli waris lain mengikut bahagian yang telah ditetapkan mengikut hukum faraid.

  10. Adakah wajib untuk mengikut pembahagian faraid sekiranya ahli waris bersetuju untuk membahagikan harta pusaka secara sama rata?

    J: Dibenarkan jika ahli waris bersetuju untuk pembahagian secara sama rata namun:
    a) Setiap ahli waris perlu tahu bahagian yang mereka layak terima agar tidak timbul sebarang penafian atau isu berkenaan pembahagian ini;
    b) Keputusan pembahagian secara sama rata tersebut perlu dibuat secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.

  11. Selepas saya mendapat Perintah Faraid dari Mahkamah Syariah, apakah yang perlu saya lakukan?

    J: Selepas anda menerima Perintah Faraid, anda perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir sebelum memindahmilik harta pusaka Si Mati kepada ahli waris yang berhak.

  12. Adakah saya harta saya hanya boleh dibahagikan melalui hukum faraid sahaja? Ada cara lain untuk menguruskan harta milik saya menurut undang-undang Islam?

    J: Anda juga boleh menguruskan/membahagikan harta milik anda kepada ahli waris atau mana-mana pihak yang anda kehendaki melalui hibah, wasiat atau wakaf.

Artikel ini disediakan oleh
Nursahila binti Ayub
Senior Associate,  Abdul, Low & Partners
Send Us Inquiries/ Message/ Feedback :