201908.27
0
6

Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayahPersekutuan) 1984 (Akta 303)

Spread the love
Akta Terkini

UNDANG-UNDANG MALAYSIA

AKTA 303
AKTA UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1984
mengandungi pindaan terkini - P.U.(A)247/2002

Tarikh Persetujuan Diraja :27 Jun 1984
Tarikh diterbitkan dalam Warta :28 Jun 1984
Tarikh mula berkuatkuasa ditetapkan:29 April 1987 [P.U. (B) 236/87]

 

BAHAGIAN I - PERMULAAN

Seksyen 1. Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuatkuasa.

(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan terpakai hanya bagi Wilayah Persekutuan.

(2) Akta ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.

Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang berlainan -

"anak dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah bersetubuh, sama ada sudah berkahwin atau belum;

"balu" ertinya perempuan yang suaminya telah mati;

"bermastautin" ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya tinggal dalam sesuatu kawasan yang tertentu;

"darar syarie" ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, atau hartabenda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara';

"duda" ertinya lelaki yang isterinya telah mati;

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syara' 1952 bagi Negeri Selangor [Enakmen Selangor 3/52.] seperti yang diubahsuai oleh Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syara') 1974 [P.U.(A) 44/74.] dibuat menurut seksyen 6 (4) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1973 [Akta A206] dan berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan menurut seksyen 6 Akta itu;

"fasakh" ertinya pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syara' mengikut seksyen 52;

"Hakim Syar'iah" ertinya seorang Kadi yang dilantik di bawah seksyen 43 Enakmen Pentadbiran, dan termasuk Kadi Besar;

"Hukum Syara'" ertinya Undang-Undang Islam dalam mana-mana mazhab yang sah;

"harta sepencarian" ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara';

"janda" ertinya perempuan yang telah bernikah dan diceraikan setelah bersetubuh;

"kariah", berhubungan dengan sesuatu masjid. ertinya kawasan, yang sempadannya ditetapkan di bawah seksyen 114 Enakmen Pentadbiran, dalam mana masjid itu terletak;

"Ketua Pendaftar" ertinya seorang Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28;

"Kitabiyah" ertinya -

(a) seorang perempuan dari keturunan Bani Ya'qub; atau

(b) seorang perempuan Nasrani dari keturunan orang-orang Nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau

(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi 'Isa menjadi Rasul;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Kadi atau Kadi Besar, mengikut mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 44 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" ertinya Majlis Ugama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 5 Enakmen Pentadbiran;

"mas kahwin" ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara' oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang, menurut Huku Syara', dapat dinilai dengan wang;

"mut'ah" ertinya bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara' kepada isteri yang diceraikan;

"nasab" ertinya keturunan yang berasaskan pertalian darah yang sah;

"Pendaftar" ertinya seorang Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28, dan termasuk Timbalan Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

"persetubuhan syubhah" ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak dihukum Had dalam Islam;

"ruju' " ertinya perkembalian kepada nikah yang asal;

"sesusuan" ertinya penyusuan bayi dengan perempuan yang bukan ibu kandungnya sekurang-kurangnya sebanyak lima kali yang mengenyangkan dalam masa umurnya dua tahun ke bawah;

"ta' liq" ertinya lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syara' dan peruntukan Akta ini;

"tak sahtaraf", berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah;

"tarikh yang ditetapkan" ertinya tarikh yang ditetapkan di bawah seksyen 1 (2) untuk mula berkuatkuasanya Akta ini;

"thayyib" ertinya perempuan yang pernah bersetubuh;

"wali Raja" ertinya wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, dalam hal Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, atau oleh Raja, dalam hal sesuatu Negeri lain, untuk mengahwinkan perempuan tidak mempunyai wali dari nasab.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Akta ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1967 [23/67] hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya masing-masing oleh Akta itu.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadul, rujukan bolehlah dibuat kepada bentuk skrip bahasa Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

(4) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa meminda, memotong daripada, atau menambah kepada, Jadual itu.

Seksyen 3. Kecualian prerogatif.

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh mengurangkan atau menyentuh hak-hak prerogatif dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam dalam Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 4. Pemakaian.

Kecuali sebagaimana diperuntukkan dengan nyata selainnya, Akta ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan bagi semua orang Islam yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

Seksyen 5. Kriterium bagi memutuskan sama ada seseorang itu orang Islam.

Jika bagi maksud-maksud Akta ini timbul apa-apa soal tentang sama ada seseorang itu orang Islam, soal itu hendaklah diputuskan mengikut kriterium reputasi am, tanpa membuat apa-apa percubaan untuk mempersoalkan keimanan, kepercayaan, kelakuan, perangai, watak, perbuatan, atau kemungkiran orang itu.

Seksyen 6. Perkahwinan yang masih berterusan hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini dan boleh dibubarkan hanya di bawah Akta ini.

(1) Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh menyentuh sahnya sesuatu perkahwinan Islam yang telah diakadnikahkan di bawah mana-mana jua undang-undang di mana-mana jua pun sebelum tarikh yang ditetapkan.

(2) Perkahwinan sedemikian, jika sah di bawah undang-undang yang di bawahnya ia telah diakadnikahkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini.

(3) Tiap-tiap perkahwinan sedemikian, melainkan jika tidak diakui di bawah undang-undang yang di bawahnya ianya telah diakadnikahkan, hendaklah berterusan sehingga dibubarkan -

(a) dengan kematian salah seorang daripada pihak-pihak yang berkahwin itu;

(b) dengan apa-apa talaq sebagaimana yang dilafazkan di bawah Akta ini;

(c) dengan perintah Mahkamah yang layak berbidangkuasa; atau

(d) dengan penetapan pembatalan yang dibuat oleh Mahkamah yang layak berbidangkuasa.

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN

Seksyen 7. Orang-orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan.

(1) Sesuatu perkahwinan di Wilayah Persekutuan hendaklah mengikut peruntukan Akta ini dan hendaklah diakadnikahkan mengikut Hukum Syara' oleh -

(a) wali di hadapan Pendaftar;

(b) wakil wali di hadapan dan dengan kebenaran Pendaftar; atau

(c) Pendaftar sebagai wakil wali.

(2) Jika sesuatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut Hukum Syara', perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.

Seksyen 8. Umur minimum untuk perkahwinan.

Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syar'iah telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Seksyen 9. Pertalian yang melarang perkahwinan.

(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab nasab, berkahwin dengan -

(a) ibunya atau bapanya;

(b) neneknya hingga ke atas sama ada dari sebelah bapa atau dari sebelah ibu;

(c) anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;

(d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa, saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa, dan saudara perempuan atau saudara lelaki seibu;

(e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan hingga ke bawah;

(f) emak saudara atau bapa saudara sebelah bapanya hingga ke atas;

(g) emak saudara atau bapa saudara sebelah ibunya hingga ke atas.

(2) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab pertalian kahwin, berkahwin dengan -

(a) ibu mertuanya atau bapa mertuanya hingga ke atas;

(b) emak tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya;

(c) nenek tirinya, iaitu isteri atau suami kepada nenek lelakinya, atau nenek perempuannya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;

(d) menantunya;

(e) anak perempuan atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah.

(3) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin.

(4) Tiada seseorang lelaki boleh mempunyai dua isteri pada satu masa jika isteri-isteri itu adalah bertalian antara satu sama lain melalui nasab, pertalian kahwin, atau susuan dan pertalian itu adalah dari jenis yang, jika salah seorang daripada mereka adalah seorang lelaki, menjadikan perkahwinan antara mereka tetap tidak sah di sisi Hukum Syara'.

Seksyen 10. Orang-orang dari agama lain.

(1) Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang Kitabiyah.

(2) Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam.

Seksyen 11. Perkahwinan tak sah.

Sesuatu perkahwinan adalah tak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syara', untuk menjadikannya sah.

Seksyen 12. Perkahwinan yang tidak boleh didaftarkan.

Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan Akta ini tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini.

Seksyen 13. Persetujuan dikehendaki.

Sesuatu perkahwinan adlaah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu telah bersetuju terhadapnya, dan sama ada -

(a) wali pihak perempuan telah bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut Hukum Syara' ; atau

(b) Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syar'iah itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut Hukum Syara' ; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syara'.

Seksyen 14. Perkahwinan seseorang perempuan.

(1) Tiada seseorang perempuan boleh, dalam masa perkahwinannya dengan seorang lelaki berterusan, berkahwin dengan seseorang lelaki lain.

(2) Jika perempuan itu adlaah seorang janda -

(a) tertakluk kepada perenggan (c), dia tidak boleh, pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh 'iddahnya yang dikira mengikut Hukum Syara', berkahwin dengan seseorang melainkan kepada lelaki yang akhir dia telah bercerai;

(b) dia tidak boleh berkahwin melainkan dia telah mengemukakan -

(i) suatu surat perakuan cerai yang sah yang dikeluarkan di bawah undang-undang yang pada masa itu berkuatkuasa; atau

(ii) suatu salinan yang diperakui bagi catatan yang berkaitan dengan perceraiannya dalam daftar perceraian yang berkenaan; atau

(iii) suatu perakuan, yang boleh diberi atas permohonannya selepas penyiasatan yang wajar oleh Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat di mana permohonan itu dibuat, yang bermaksud bahawa dia adalah seorang janda;
(c) jika perceraian itu adalah dengan ba-in kubra, iaitu tiga talaq, dia tidak boleh berkahwin semula dengan suaminya yang dahulu itu melainkan dia telah berkahwin dengan sah dengan seorang lain dan dia telah disetubuhi oleh seorang lain itu dalam perkahwinan itu dan perkahwinan itu dibubarkan kemudiannya dengan sah dan setelah habis 'iddahnya.

(3) Jika perempuan itu mendakwa telah bercerai sebelum dia telah disetubuhi oleh suaminya dalam perkahwinan itu, dia tidak boleh, dalam masa 'iddah perceraian biasa, berkahwin dengan seseorang yang lain daripada suaminya yang dahulu itu, kecuali dengan kebenaran Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat pengantin perempuan itu bermastautin.

(4) Jika perempuan itu adalah seorang balu -

(a) dia tidak boleh berkahwin dengan seseorang pada bila-bila masa sebelum tamat tempoh 'iddahnya yang dikira mengikut Hukum Syara' ;

(b) dia tidak boleh berkahwin melainkan dia telah mengemukakan surat perakuan kematian suaminya atau dengan cara lain membuktikan kematian suaminya.

Seksyen 15. Pertunangan.

Jika seseorang telah mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut Hukum Syara', sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudiannya enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi kepada kontrak itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah.

Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin.

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Wilayah Persekutuan, tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid yang berlainan dari kariah masjid pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan Pendaftar bagi kariah masjidnya atau oleh pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.

Seksyen 17. Mengeluarkan kebenaran berkahwin.

Tertakluk kepada seksyen 18, Pendaftar, apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu, tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu, dan, jika pihak lelaki itu sudah berkahwin, bahawa kebenaran yang dikehendaki oleh seksyen 23 telah diberi, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dan setelah dibayar fee yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.

Seksyen 18. Rujukan kepada dan tindakan oleh Hakim Syar'iah.

(1) Dalam mana-mana kes berikut, iaitu -

(a) jika salah satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu adalah di bawah umur yang dinyatakan dalam seksyen 8; atau

(b) jika pihak perempuan adalah seorang janda yang tersabit oleh seksyen 14 (3); atau

(c) jika pihak perempuan tidak mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syara',

maka Pendaftar hendaklah, sebagai ganti bertindak di bawah seksyen 17, merujukkan permohonan itu kepada Hakim Syar'iah yang mempunyai bidangkuasa di tempat perempuan itu bermastautin.

(2) Hakim Syar'iah, apabila berpuas hati tentang kebenaran perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu dan tentang sahnya perkahwinan yang dicadangkan itu dan bahawa kes itu adalah kes yang mewajarkan pemberian kebenaran bagi maksud-maksud seksyen 8, atau kebenaran bagi maksud-maksud seksyen 14 (3), atau persetujuannya terhadap perkahwinan itu diakadnikahkan oleh wali Raja bagi maksud-maksud seksyen 13 (b), mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, pada bila-bila masa selepas permohonan itu dirujukkan kepadanya dan setelah dibayar fee yang ditetapkan, mengeluarkan kepada pemohon kebenarannya untuk berkahwin dalam borang yang ditetapkan.

Seksyen 19. Kebenaran perlu sebelum akadnikah.

Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin telah diberi -

(a) oleh Pendaftar di bawah seksyen 17 atau oleh Hakim Syar'iah di bawah seksyen 18, jika perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan; atau

(b) oleh pihak berkuasa yang hak bagi sesuatu Negeri, jika perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang bermastautin di Negeri itu.

Seksyen 20. Tempat perkahwinan.

(1) Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan kecuali dalam kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin, tetapi Pendaftar atau Hakim Syar'iah yang memberi kebenaran berkahwin di bawah seksyen 17 atau 18 boleh memberi kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan di tempat lain, sama ada dalam Wilayah Persekutuan atau dalam mana-mana Negeri.

(2) Kebenaran di bawah subseksyen (1) bolehlah dinyatakan dalam kebenaran berkahwin yang diberi di bawah seksyen 17 atau 18.

(3) Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), sesuatu perkahwinan itu bolehlah diakadnikahkan dalam kariah masjid yang lain daripada kariah masjid di mana pihak perempuan bermastautin jika -

(a) dalam hal di mana perempuan itu bermastautin dalam Wilayah Persekutuan, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan itu telah diberi di bawah seksyen 17 atau 18 dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam kariah masjid yang lain itu telah diberi di bawah subseksyen (1); atau

(b) dalam hal di mana perempuan itu bermastautin dalam sesuatu Negeri, kebenaran berkahwin mengenai perkahwinan itu dan kebenaran untuk perkahwinan itu diakadnikahkan dalam kariah masjid yang lain itu telah diberi oleh pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu.

Seksyen 21. Mas kahwin dan pemberian.

(1) Mas kahwin hendaklah biasanya dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.

(2) Pendaftar hendaklah, mengenai tiap-tiap perkahwinan yang hendak didaftarkan olehnya, menentu dan merekodkan -

(a) nilai dan butir-butir lain mas kahwin;

(b) nilai dan butir-butir lain pemberian;

(c) nilai dan butir-butir lain apa-apa bahagian mas kahwin atau pemberian atau kedua-duanya yang telah dijanjikan tetapi tidak dijelaskan pada masa akadnikah itu, dan tarikh yang dijanjikan untuk penjelasan; dan

(d) butir-butir cagaran yang diberi bagi menjelaskan mas kahwin atau pemberian.

Seksyen 22. Catatan dalam Daftar Perkahwinan.

(1) Selepas sahaja akadnikah sesuatu perkahwinan dilakukan, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir yang ditetapkan dan ta'liq yang ditetapkan atau taliq lain bagi perkahwinan itu di dalam Daftar Perkahwinan.

(2) Catatan itu hendaklah diakusaksi oleh pihak-pihak kepada perkahwinan itu, oleh wali, dan oleh dua orang saksi, selain daripada Pendaftar, yang hadir semasa perkahwinan itu diakadnikahkan.

(3) Catatan itu hendaklah kemudiannya ditandatangani oleh Pendaftar itu.

Seksyen 23. Poligami.

(1) Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seorang lain dalam masa dia masih beristerikan isterinya yang sedia ada kecuali dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada Hakim Syar'iah, dan jika dia berkahwin sedemikian tanpa kebenaran tersebut maka perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan di bawah Akta ini.

(2) Subseksyen (1) terpakai bagi perkahwinan dalam Wilayah Persekutuan seseorang lelaki yang bermastautin dalam atau di luar Wilayah Persekutuan dan perkahwinan di luar Wilayah Persekutuan seseorang lelaki yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan.

(3) Permohonan untuk kebenaran hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan berkanun menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu dikatakan patut dan perlu, pendapatan pemohon pada masa itu, butir-butir komitmennya dan kewajipan dan tanggungan kewangannya yang patut ditentukan, bilangan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu, dan sama ada izin atau pandangan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada telah diperolehi atau tidak terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu.

(4) Apabila menerima permohonan itu, Mahkamah hendaklah memanggil pemohon dan isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada supaya hadir apabila permohonan itu didengar, yang hendaklah dilakukan dalam mahkamah tertutup, dan Mahkamah boleh memberi kebenaran yang dipohon itu jika
berpuas hati -

(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;

(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;

(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara';

(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada; dan

(e) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan merendahkan secara langsung atau secara tak langsung taraf kehidupan yang telah dinikmati dan dijangka dengan munasabah akan dinikmati seterusnya oleh isteri atau isteri-isteri dan orang-orang tanggungannya yang sedia ada sekiranya perkahwinan itu tidak berlaku.

(5) Satu salinan permohonan di bawah subseksyen (3) dan akuan berkanun yang dikehendaki oleh subseksyen itu hendaklah disampaikan bersama dengan surat panggilan ke atas tiap-tiap isteri yang sedia ada.

(6) Mana-mana pihak yang terkilan atau tidak puas hati dengan apa-apa keputusan Mahkamah boleh merayu terhadap keputusan itu mengikut cara yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran bagi rayuan dalam perkara sivil.

(7) Seseorang yang berkahwin bersalahan dengan subseksyen (1) hendaklah membayar dengan serta-merta semua jumlah mas kahwin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada, dan jumlah itu, jika tidak dibayar sedemikian, boleh dituntut sebagai hutang.

(8) Acara bagi akadnikah dan pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini adalah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Wilayah Persekutuan di bawah Akta ini.

Seksyen 24. Akadnikah perkahwinan di Kedutaan-kedutaan, dsb., Malaysia di luar negeri.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), perkahwinan boleh diakadnikahkan mengikut Hukum Syara' oleh Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 28 (3) di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di mana-mana negara yang telah tidak memberitahu Kerajaan Malaysia tentang bantahannya terhadap pengakadnikahan perkahwinan di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul itu.

(2) Sebelum mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, Pendaftar hendaklah berpuas hati -

(a) bahawa satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu adalah pemastautin Wilayah Persekutuan;

(b) bahawa tiap-tiap satu pihak mempunyai keupayaan untuk berkahwin mengikut Hukum Syara' dan Akta ini; dan

(c) bahawa, jika salah satu pihak bukan pemastautin Wilayah Persekutuan, perkahwinan yang dicadangkan itu, jika diakadnikahkan, akan dikira sebagai sah di tempat di mana pihak itu bermastautin.

(3) Acara bagi akadnikah dan pendaftaran perkahwinan di bawah seksyen ini hendaklah serupa dalam serba perkara dengan yang dipakai bagi perkahwinan-perkahwinan lain yang diakadnikahkan dan didaftarkan dalam Wilayah Persekutuan di bawah Akta ini seolah-olah Pendaftar yang dilantik untuk sesuatu negara asing adalah seorang Pendaftar untuk Wilayah Persekutuan.

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN

Seksyen 25. Pendaftaran.

Perkahwinan selepas tarikh yang ditetapkan tiap-tiap orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan dan perkahwinan tiap-tiap orang yang tinggal di luar negeri tetapi bermastautin dalam Wilayah Persekutuan hendaklah didaftarkan mengikut Akta ini.

Seksyen 26. Surat perakuan nikah dan surat perakuan ta'liq.

(1) Selepas mendaftarkan sesuatu perkahwinan dan selepas dibayar kepadanya fee yang ditetapkan, Pendaftar hendaklah mengeluarkan suatu surat perakuan nikah dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak bagi perkahwinan itu.

(2) Pendaftar hendaklah juga, selepas dibayar fee yang ditetapkan, mengeluarkan suatu surat perakuan ta'liq dalam borang yang ditetapkan kepada tiap-tiap satu pihak bagi perkahwinan itu.

Seksyen 27. Melaporkan perkahwinan yang taksah atau tak legal.

Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap orang untuk melaporkan kepada Pendaftar tentang hal keadaan sesuatu kes dalam mana dia berpendapat bahawa sesuatu perkahwinan adalah taksah atau bahawa sesuatu perkahwinan yang kena didaftarkan telah diakadnikahkan bersalahan dengan Akta ini.

Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Akta ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Akta ini.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Wilayah Persekutuan sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Akta ini di negara itu.

(4) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (1) yang bukan pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan [N.M.B. Bab 45.]

Seksyen 29. Buku dan Daftar hendaklah disimpan mengenai semua perkahwinan.

Tiap-tiap Pendaftar hendaklah menyimpan suatu Daftar Perkahwinan dan buku-buku sebagaimana yang ditetapkan oleh Akta ini atau oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini, dan tiap-tiap perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Wilayah Persekutuan hendaklah didaftarkan dengan sewajarnya oleh Pendaftar dalam Daftar Perkahwinannya.

Seksyen 30. Salinan-salinan catatan hendaklah dihantar kepada Ketua Pendaftar.

(1) Tiap-tiap Pendaftar hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik selepas akhir tiap-tiap satu bulan, menyerahkan kepada Ketua Pendaftar suatu salinan tiap-tiap catatan yang diperakui benar dan ditandatangani olehnya yang telah dibuat dalam Daftar Perkahwinan.

(2) Semua salinan itu hendaklah disimpan oleh Ketua Pendaftar mengikut apa-apa cara sebagaimana yang ditetapkan dan hendaklah menjadi Daftar Perkahwinan Ketua Pendaftar.

Seksyen 31. Pendaftaran perkahwinan luar negeri oleh orang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan.

(1) Jika seseorang yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan telah berkahwin di luar negeri dengan sah mengikut Hukum Syara', bukannya satu perkahwinan yang didaftarkan di bawah seksyen 24, maka orang itu hendaklah, dalam masa enam bulan selepas tarikh perkahwinan itu, hadir di hadapan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam yang berhampiran sekali atau yang terdapat dengan paling senang di luar negeri untuk mendaftarkan perkahwinan itu, dan perkahwinan itu, setelah didaftarkan, hendaklah disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini.

(2) Jika sebelum tamat tempoh enam bulan itu salah satu atau kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu dijangkakan akan kembali ke Wilayah Persekutuan dan perkahwinan itu belum didaftarkan di luar negeri, maka pendaftaran perkahwinan itu hendaklah dibuat dalam masa enam bulan selepas salah satu atau kedua-dua pihak itu mula-mula sampai di Wilayah Persekutuan dengan cara pihak itu atau kedua-dua pihak itu hadir di hadapan mana-mana Pendaftar dalam Wilayah Persekutuan dan -

(a) mengemukakan kepada Pendaftar itu surat perakuan nikah atau apa-apa keterangan, sama ada lisan atau dokumentar, yang boleh memuaskan hati Pendaftar bahawa perkahwinan itu telah berlaku;

(b) memberi apa-apa butir sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar untuk pendaftaran sewajarnya perkahwinan itu, dan

(c) memohon dalam borang yang ditetapkan supaya perkahwinan itu didaftarkan dan menandatangani akuan di dalamnya.

(3) Pendaftar boleh mengecualikan satu daripada pihak-pihak itu daripada hadir jika dia berpuas hati bahawa ada sebab-sebab yang baik dan cukup bagi pihak itu tidak hadir dan dalam hal yang demikian catatan dalam Daftar Perkahwinan hendaklah termasuk suatu pernyataan tentang sebab pihak itu tidak hadir.

(4) Selepas sahaja pendaftaran sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini, satu salinan sah catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri, dan satu lagi salinan sah yang diperakui hendaklah dihantar, dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan, kepada Ketua Pendaftar yang hendaklah menyebabkan semua salinan-salinan yang diperakui itu dijilidkan bersama untuk menjadi Daftar Perkahwinan Orang Islam Luar Negeri.

(5) Jika pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan yang dikehendaki didaftarkan di bawah seksyen ini tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (1), perkahwinan itu boleh, atas permohonan kepada Pendaftar, didaftarkan kemudian setelah dibayar apa-apa penalti yang ditetapkan.

Seksyen 32. Daftar yang tidak diakui di sisi undang-undang.

Tiada seseorang, lain daripada mereka yang dilantik di bawah seksyen 28, boleh -

(a) menyimpan apa-apa buku yang mana adalah atau yang berupa sebagai suatu daftar yang disimpan mengikut Akta ini; atau

(b) mengeluarkan kepada seseorang apa-apa dokumen yang mana adalah atau yang berupa sebagai suatu salinan surat perakuan bagi perkahwinan atau perakuan perkahwinan yang didaftarkan oleh Pendaftar.

Seksyen 33. Pendaftaran sukarela perkahwinan-perkahwinan orang Islam yang diakadnikahkan dahulunya di bawah mana-mana undang-undang.

(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 6 dan seksyen 31, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Hukum Syara' yang diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan boleh, jika perkahwinan itu belum didaftarkan, memohon pada bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk didaftarkan perkahwinan itu.

(2) Pendaftar boleh menghendaki pihak-pihak kepada perkahwinan itu hadir di hadapannya dan mengemukakan apa-apa keterangan yang dikehendakinya mengenai perkahwinan itu, sama ada lisan atau dokumentar, dan memberi apa-apa butir lain sebagaimana yang dikehendaki olehnya.

(3) Pendaftar boleh, setelah puas hati tentang kebenaran pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam permohonan itu, mendaftarkan perkahwinan itu dengan mencatatkan butir-butir mengenainya dalam Daftar Perkahwinan yang ditetapkan bagi maksud ini.

(4) Catatan perkahwinan dalam Daftar Perkahwinan itu hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar yang membuat catatan itu dan kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu, jika dapat hadir, jika tidak, oleh mana-mana satu pihak yang hadir di hadapan Pendaftar.

(5) Selepas perkahwinan itu didaftarkan, satu salinan catatan dalam Daftar Perkahwinan yang diperakui dan ditandatangani oleh Pendaftar dan dimeterai dengan meterai jawatannya hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri dan satu salinan ketiga hendaklah dihantar kepada Ketua Pendaftar.

(6) Pendaftar tidak boleh mendaftarkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini jika dia berpuas hati bahawa perkahwinan itu adalah tidak diakui di bawah Akta ini.

Seksyen 34. Efek pendaftaran di sisi undang-undang.

Tiada apa-apa jua dalam Akta ini atau dalam kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini boleh ditafsirkan sebagai menjadikan diakui atau tidak diakui sesuatu perkahwinan semata-mata oleh sebab ianya telah didaftarkan atau tidak didaftarkan, yang mana, sebaliknya, adalah tidak diakui atau diakui.

BAHAGIAN IV - PENALTI DAN PELBAGAI PERUNTUKAN BERHUBUNGAN DENGAN AKADNIKAH DAN PENDAFTARAN PERKAHWINAN

Seksyen 35. Tidak hadir di hadapan Pendaftar dalam masa yang ditetapkan.

Jika seseorang yang dikehendaki oleh seksyen 31 hadir di hadapan seorang Pendaftar tidak berbuat demikian dalam masa yang ditetapkan, maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Seksyen 36. Pelanggaran terhadap seksyen 32.

Seseorang yang melanggar seksyen 32 adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu; dan bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudiannya hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Seksyen 37. Gangguan terhadap perkahwinan.

Kecuali jika dibenarkan oleh Hukum Syara', seseorang yang menggunakan apa-apa kekerasan atau ugutan -

(a) untuk memaksa seseorang berkahwin bertentangan dengan kemahuannya; atau

(b) untuk menahan seseorang lelaki yang telah mencapai umur lapan belas tahun atau seseorang perempuan yang telah mencapai umur enam belas tahun dari berkahwin dengan sahnya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Seksyen 38. Akuan atau pernyataan palsu untuk mendapatkan perkahwinan.

Jika seseorang, bagi maksud mendapatkan suatu perkahwinan dilakukan di bawah Akta ini, sengaja membuat sesuatu akuan atau pernyataan yang palsu, maka orang itu adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Seksyen 39. Akadnikah perkahwinan yang tidak dibenarkan.

Seseorang yang mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan manakala dia tidak diberi kuasa di bawah Akta ini, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Seksyen 40. Kesalahan-kesalahan berhubungan dengan akadnikah perkahwinan.

(1) Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan -

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) di hadapan selain dari di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu,

adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(2) Seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai akadnikah atau yang menjalani sesuatu cara akadnikah dengan sesiapa jua berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Seksyen 41. Kebenaran untuk mendakwa.

Tiada apa-apa dakwaan atas sesuatu kesalahan di bawah seksyen 35 hingga 40 boleh dibawa kecuali dengan kebenaran bertulis dari Mufti.

Seksyen 42. Membetulkan kesilapan.

(1) Jika Pendaftar berpuas hati melalui akuan berkanun atau selainnya bahawa sesuatu catatan berhubungan dengan sesuatu perkahwinan adalah silap pada bentuk atau isinya, dia boleh, di hadapan orang-orang yang bernikah itu, atau, jika mereka tidak ada, di hadapan dua orang saksi yang boleh dipercayai, membetulkan kesilapan itu dengan memotong catatan itu dan membuat catatan yang betul dan dia hendaklah selepas itu mengarahkan supaya catatan dalam Daftar Perkahwinan tempatan dibetulkan mengikut cara yang sama.

(2) Pendaftar hendaklah menandatangani dan mentarikhkan pembetulan yang dibuat dalam surat perakuan nikah itu dan dalam Daftar Perkahwinan tempatan itu.

(3) Tiap-tiap catatan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah diakusaksi oleh saksi-saksi yang dihadapannya catatan itu telah dibuat.

(4) Suatu salinan pembertulan itu yang diperakui hendaklah dihantar dengan segera kepada Ketua Pendaftar supaya suatu pembetulan yang serupa dibuat dalam Daftar Perkahwinannya.

Seksyen 43. Pemeriksaan Daftar Perkahwinan dan indeks perkahwinan.

(1) Tiap-tiap Daftar Perkahwinan dan indeks perkahwinan yang disimpan oleh Ketua Pendaftar atau Pendaftar di bawah Akta ini hendaklah terbuka untuk diperiksa oleh mana-mana orang setelah dibayar fee yang ditetapkan.

(2) Ketua Pendaftar atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, setelah dibayar fee yang ditetapkan, memberi suatu salinan catatan dalam Daftar Perkahwinan dan indeks, yang diperakui dengan tandatangan dan meterai jawatan Ketua Pendaftar atau Pendaftar itu, mengikut mana yang berkenaan, kepada seseorang yang menghendakinya.

Seksyen 44. Bukti.

Tiap-tiap Daftar Perkahwinan yang disimpan oleh Ketua Pendaftar atau Pendaftar di bawah Akta ini dan sesuatu salinan apa-apa catatan di dalamnya, yang diperakui dengan tandatangan dan meterai jawtaannya sebagai suatu salinan atau cabutan yang benar, adalah menjadi keterangan prima facie dalam semua mahkamah dan tribunal dalam mengenai tarikh-tarikh dan perbuatan-perbuatan yang terkandung atau dinyatakan dalam Daftar Perkahwinan, salinan atau cabutan itu.

BAHAGIAN V - PEMBUBARAN PERKAHWINAN

Seksyen 45. Takat kuasa untuk membuat sesuatu perintah.

Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata, tiada apa-apa jua dalam Akta ini membolehkan Mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali -

(a) jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Akta ini;

(b) jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut Hukum Syara' ; dan

(c) jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam Wilayah Persekutuan.

Seksyen 46. Pertukaran agama.

(1) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu murtad atau memeluk sesuatu kepercayaan lain daripada Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.

Seksyen 47. Perceraian dengan talaq atau dengan perintah.

(1) Seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu akuan berkanun mengandungi -

(a) butir-butir mengenai perkahwinan itu dan nama, umur dan jantina anak-anak, jika ada, hasil dari perkahwinan itu;

(b) butir-butir mengenai fakta-fakta yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah di bawah seksyen 45;

(c) butir-butir mengenai apa-apa prosiding yang dahulu mengenai hal-ehwal suami isteri antara pihak-pihak itu, termasuk tempat prosiding itu;

(d) suatu pernyataan tentang sebab-sebab hendak bercerai;

(e) suatu pernyataan tentang sama ada apa-apa, dan, jika ada, apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mencapai perdamaian;

(f) syarat apa-apa perjanjian berkenaan dengan nafkah dan tempat kediaman bagi isteri dan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, peruntukan bagi pemeliharaan dan penjagaan anak-anak dari perkahwinan itu, jika ada, dan pembahagian apa-apa aset yang diperolehi melalui usaha bersama pihak-pihak itu, jika ada, atau, jika tiada, sesuatu persetujuan tersebut telah tercapai, cadangan pemohon mengenai hal-hal itu; dan

(g) butir-butir mengenai perintah yang diminta.

(2) Selepas menerima sesuatu permohonan untuk perceraian, Mahkamah hendaklah menyebabkan satu saman diserahkan kepada pihak yang satu lagi itu bersama dengan satu salinan permohonan itu dan akuan berkanun yang dibuat oleh pemohon, dan saman itu hendaklah mengarahkan pihak yang satu lagi itu hadir di hadapan Mahkamah untuk membolehkan Mahkamah menyiasat sama ada pihak yang satu lagi itu bersetuju atau tidak terhadap perceraian itu.

(3) Jika pihak yang satu lagi itu bersetuju terhadap perceraian itu dan Mahkamah berpuas hati selepas penyiasatan yang wajar bahawa perkahwinan itu telah pecahbelah dengan tak dapat dipulihkan, maka Mahkamah hendaklah menasihatkan suami supaya melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah.

(4) Mahkamah hendaklah merekodkan hal satu talaq itu, dan hendaklah menghantar satu salinan rekod itu yang yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(5) Jika pihak yang satu lagi itu tidak bersetuju terhadap perceraian itu atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian antara pihak-pihak itu, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang boleh melantik suatu jawatankuasa pendamai terdiri daripada seorang Pegawai Agama sebagai pengerusi dan dua orang lain, seorang untuk bertindak bagi pihak suami dan seorang lagi bagi isteri, dan merujukkan kes itu kepada jawatankuasa itu.

(6) Pada melantik dua orang itu di bawah subseksyen (5), Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(7) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada jawatankuasa pendamai itu tentang hal menjalankan perdamaian itu dan ia hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu.

(8) Jika jawatankuasa itu tidak dapat bersetuju atau jika Mahkamah tidak berpuas hati tentang cara ia menjalankan perdamaian itu, Mahkamah boleh memecat jawatankuasa itu dan melantik jawatankuasa lain bagi menggantikannya.

(9) Jawatankuasa itu hendaklah berusaha mencapai perdamaian dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia dibentuk atau dalam tempoh yang lebih lama mengikut sebagaimana yang dibenarkan oleh Mahkamah.

(10) Jawatankuasa itu hendaklah meminta pihak-pihak itu hadir dan hendaklah memberi tiap-tiap seorang dari mereka peluang untuk didengar dan boleh mendengar mana-mana orang lain dan membuat apa-apa penyiasatan yang difikirkannya patut dan boleh, jika ia fikirkan perlu, menangguhkan prosidingnya dari semasa ke semasa.

(11) Jika jawatankuasa pendamai itu tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, jawatankuasa itu hendaklah mengeluarkan suatu perakuan tentang hal yang demikian itu dan boleh melampirkan pada perakuan itu apa-apa syor yang difikirkannya patut berkenaan dengan nafkah dan penjagaan anak-anak belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, berkenaan dengan pembahagian harta, dan berkenaan dengan hal-hal lain berhubungan dengan perkahwinan itu.

(12) Tiada seseorang peguambela dan peguamcara boleh hadir atau bertindak bagi mana-mana pihak dalam sesuatu prosiding di hadapan sesuatu jawatankuasa pendamai dan tiada sesuatu pihak boleh diwakili oleh sesiapa jua, selain dari seorang ahli keluarganya yang karib, tanpa kebenaran jawatankuasa pendamai itu.

(13) Jika jawatankuasa itu melaporkan kepada Mahkamah bahawa perdamaian telah tercapai dan pihak-pihak itu telah hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menolak permohonan untuk perceraian itu.

(14) Jika jawatankuasa mengemukakan kepada Mahkamah suatu perakuan bahawa ia tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk pihak-pihak itu supaya hidup semula bersama sebagai suami isteri, Mahkamah hendaklah menasihatkan suami yang berkenaan itu melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah, dan jika Mahkamah tidak dapat mendapatkan suami itu hadir di hadapan Mahkamah untuk melafazkan satu talaq, atau jika suami itu enggan melafazkan satu talaq, maka Mahkamah hendaklah merujuk kes itu kepada Hakam untuk tindakan menurut seksyen 48.

(15) Kehendak subseksyen (5) tentang rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak terpakai dalam sesuatu kes -

(a) di mana pemohon mengatakan bahawa dia telah ditinggal langsung oleh pihak yang satu lagi itu dan tidak tahu di mana pihak yang satu lagi itu berada;

(b) di mana pihak yang satu lagi itu bermastautin di luar Malaysia Barat dan ianya tidak mungkin masuk ke dalam bidangkuasa Mahkamah yang berkenaan itu dalam masa enam bulan selepas tarikh permohonan itu;

(c) di mana pihak yang satu lagi itu sedang di penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) di mana pemohon mengatakan bahawa pihak yang satu lagi itu sedang mengidap penyakit otak yang tak boleh sembuh; atau

(e) di mana Mahkamah berpuas hati bahawa ada hal keadaan yang luarbiasa yang menyebabkan rujukan kepada suatu jawatankuasa pendamai tidak praktik.

(16) Kecuali sebagaimana diperuntukkan dalam subseksyen (17), sesuatu talaq yang dilafazkan oleh suami atau sesuatu perintah yang dibuat oleh Mahkamah tidak boleh berkuatkuasa sehingga tamat tempoh 'iddah.

(17) Jika isteri hamil pada masa talaq itu dilafazkan atau pada masa perintah itu dibuat, talaq atau perintah itu tidak boleh berkuatkuasa sehingga berakhir kehamilan itu.

Seksyen 48. Timbangtara oleh Hakam.

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syara', dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syara'.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Seksyen 49. Perceraian khul' atau cerai tebus talaq.

(1) Jika suami tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri, tetapi pihak-pihak itu bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau cerai tebus talaq, Mahkamah hendaklah, selepas jumlah bayaran tebus talaq dipersetujui oleh pihak-pihak itu, mengarahkan suami melafazkan perceraian dengan cara penebusan, dan perceraian itu adalah ba-in-sughra atau tak boleh diruju'kan.

(2) Mahkamah hendaklah merekodkan cerai tebus talaq itu dengan sewajarnya dan menghantarkan satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika jumlah bayaran tebus talaq tidak dipersetujui oleh pihak-pihak itu, Mahkamah boleh mentaksirkan jumlah itu mengikut Hukum Syara' dengan memberi pertimbangan kepada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak itu.

(4) Jika suami tidak bersetuju bercerai dengan cara penebusan atau tidak hadir di hadapan Mahkamah sebagaimana diarahkan, atau jika Mahkamah berpendapat bahawa ada kemungkinan yang munasabah bagi suatu perdamaian, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Seksyen 50. Perceraian di bawah ta'liq atau janji.

(1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta'liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syara', hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Seksyen 51. Hidup semula sebagai suami isteri atau ruju'.

`(1) Dalam seksyen ini "talaq raj'i " ertinya perceraian dengan satu atau dua talaq yang tidak diikuti dengan habis 'iddah, dan "bersekedudukan semula" ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tak boleh diruju'kan.

(2) Jika, selepas sesuatu talaq raj'i, persekedudukan semula berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal persekedudukan semula itu dan butir-butir lain yang berkaitan kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana mereka bermastautin.

(3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuas hati bahawa persekedudukan semula telah berlaku mengikut Hukum Syara', hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka surat perakuan persekedudukan semula dalam borang yang ditetapkan.

(4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(5) Mana-mana pihak kepada suatu perkahwinan yang tidak melaporkan hal persekedudukan semula sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

(6) Jika perceraian itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah subseksyen (2) itu dibuat, dia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan persekedudukan semula itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu, dan Pendaftar yang satu lagi itu hendaklah selepas itu mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian dan hendaklah menyerahkan salinan surat perakuan persekedudukan semula itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat endorsmen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.

(7) Jika talaq raj'i telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa menzahirkan kepadanya hal perceraian itu.

(8) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' dan isteri telah bersetuju terhadap ruju' itu, isteri boleh, atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri itu menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut Hukum Syara' sebaliknya, dan, jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

(9) Jika selepas talaq raj'i suami melafazkan ruju' tetapi telah tidak bersetuju terhadap ruju' itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syara', dia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Seksyen 52. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh.

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syara' adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu -

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain -

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau

(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara'; atau

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau

(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau

(v) menghalang isteri dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau

(vi) jika ia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara';

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan mensetubuhinya;

(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau lain-lain hal keadaan yang diakui oleh Hukum Syara' ;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syara'.

(2) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (c) dalam subseksyen (1) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami telahpun menjalani satu tahun dari hukuman itu.

(3) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (e) dalam subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh enam bulan dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati Mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.

(4) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam subseksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

Seksyen 53. Anggapan mati.

(1) Jika suami seseorang perempuan telah mati, dipercayai telah mati, atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh tujuh tahun atau lebih, dan hal keadaan adalah sebegitu hingga dia patut, bagi maksud membolehkan perempuan itu berkahwin semula, dianggap mengikut Hukum Syara' sebagai telah mati, tetapi perakuan kematian di bawah Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 [61/57.] tidak dapat diperolehi, Mahkamah boleh, atas permohonan perempuan itu dan selepas apa-apa penyiasatan yang wajar, mengeluarkan, dalam borang yang ditetapkan, suatu perakuan menganggap suami itu telah mati, dan kemudian daripada itu perempuan itu adalah bebas berkahwin semula mengikut Akta ini.

(2) Suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah disifatkan sebagai perakuan kematian suami itu dalam erti seksyen 14 (4) (b).

(3) Dalam hal keadaan yang disebut dalam subseksyen (1), seseorang perempuan adalah tidak berhak berkahwin semula tanpa suatu perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) walaupun Mahkamah Tinggi mungkin telah memberi kebenaran menganggap suami itu telah mati.

(4) Perakuan yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah didaftarkan seolah-olah perakuan itu telah mewujudkan perceraian.

Seksyen 54. Penyenggaraan Daftar Perceraian dan Pembatalan.

(1) Tiap-tiap Pendaftar dan juga Ketua Pendaftar hendaklah masing-masing menyenggara suatu Daftar Perceraian dan Pembatalan dan hendaklah serta-merta mencatatkan di dalamnya butir-butir yang ditetapkan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dihantar kepadanya di bawah subseksyen (2) dan mengenai semua perintah perceraian dan pembatalan yang dipohon di bawah subseksyen (3) untuk didaftarkan.

(2) Tiap-tiap Mahkamah yang memberi dan merekodkan sesuatu perintah perceraian atau pembatalan atau yang membenar dan merekodkan sesuatu talaq atau apa-apa lain bentuk perceraian hendaklah serta merta menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(3) Jika sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan dalam Wilayah Persekutuan adalah dibubarkan atau dibatalkan dengan suatu perintah Mahkamah yang layak berbidangkuasa di luar Wilayah Persekutuan, salah satu daripada pihak-pihak itu boleh memohon kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan perintah itu, dan Pendaftar yang berkenaan itu dan Ketua Pendaftar hendaklah mendaftarkan perintah itu apabila berpuas hati bahawa perintah itu adalah satu perintah yang patut diiktiraf sebagai sah bagi maksud-maksud undang-undang dalam Wilayah Persekutuan.

(4) Jika sesuatu lafaz talaq di hadapan Mahkamah atau sesuatu perintah perceraian atau pembatalan, di mana jua telah diberi, telah membubarkan sesuatu perkahwinan yang telah diakadnikahkan dalam Wilayah Persekutuan dan telah didaftarkan di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuatkuasa sebelum Akta ini, Pendaftar yang berkenaan dan Ketua Pendaftar hendaklah, apabila mendaftarkan talaq atau perintah itu, mengarahkan supaya catatan mengenai perkahwinan itu dalam Daftar Perkahwinan ditandakan dengan perkataan "Dibubarkan" dan dengan rujukan mengenai perbicaraan dalam mana talaq itu telah dilafazkan atau perintah itu telah dibuat.

(5) Apabila mendaftarkan sesuatu talaq atau perintah perceraian atau pembatalan itu dan apabila dibayar kepadanya fee yang ditetapkan, Ketua Pendaftar hendaklah mengeluarkan surat perakuan cerai dan pembatalan dalam borang yang ditetapkan kepada kedua-dua pihak itu.

Seksyen 55. Perintah perceraian tidak boleh didaftarkan melainkan perintah mengenai nafkah, penjagaan, dsb., telah dibuat.

Tiada apa-apa lafaz talaq atau perintah perceraian atau pembatalan boleh didaftarkan melainkan jika Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa Mahkamah telah membuat perintah atau perintah-perintah muktamad mengenai penjagaan dan nafkah anak-anak tanggungan, mengenai nafkah dan tempat kediaman isteri yang diceraikan, dan mengenai bayaran mut'ah kepadanya.

Seksyen 56. Mut'ah atau pemberian saguhati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut.

Selain dari haknya untuk memohon nafkah,seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut'ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syara'.

Seksyen 57. Hak terhadap mas kahwin, dsb. tidak akan tersentuh.

Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seseorang isteri di bawah Hukum Syara' terhadap mas kahwinnya dan pemberian kepadanya atau apa-apa bahagian daripadanya apabila perkahwinannya dibubarkan.

Seksyen 58. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian.

(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang -

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;

(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;

(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada -

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak yang telah memperolehi aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.

BAHAGIAN VI - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN

Seksyen 59. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi isteri, dan efek nusyuz

(1) Tertakluk kepada Hukum Syara', Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

(2) Tertakluk kepada Hukum Syara' dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain -

(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;

(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;

(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syara'.

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.

Seksyen 60. Kuasa Mahkamah memerintah nafkah bagi seseorang tertentu.

Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syara', supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuan orang yang pertama tersebut itu adalah munasabah memerintah sedemikian.

Seksyen 61. Pentaksiran nafkah.

Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah itu berbanding dengan pendapatan orang yang terhadapnya perintah itu dibuat.

Seksyen 62. Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan cagaran diberi bagi nafkah.

Mahkamah boleh, apabila menentukan nafkah, memerintahkan orang yang bertanggungan membayar nafkah itu supaya memberi cagaran bagi kesemua atau apa-apa bahagiannya dengan meletakhak apa-apa harta pada pemegang-pemegang amanah dengan amanah supaya membayar nafkah itu atau sebahagiannya daripada pendapatan harta itu.

Seksyen 63. Mengkompaun nafkah.

Sesuatu perjanjian untuk membayar, dengan wang atau lain-lain harta, wang pokok bagi menjelaskan segala tuntutan nafkah masa hadapan tidak boleh berkuatkuasa sehingga ia telah diluluskan, dengan atau tanpa syarat-syarat, oleh Mahkamah, tetapi apabila diluluskan sedemikian, hendaklah menjadi suatu pembelaan yang memadai terhadap apa-apa tuntutan nafkah.

Seksyen 64. Lamanya tempoh perintah nafkah.

Kecuali jika sesuatu perintah nafkah dinyatakan sebagai selama sesuatu tempoh yang lebih singkat atau telah dibatalkan, dan tertakluk kepada seksyen 65, sesuatu perintah nafkah hendaklah tamat apabila mati orang yang kena membayar nafkah itu atau apabila mati orang yang berhak menerima nafkah itu menurut perintah yang telah dibuat itu, mengikut mana yang lebih awal.

Seksyen 65. Hak terhadap nafkah atau pemberian selepas perceraian.

(1) Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh 'iddah atau apabila isteri itu hidup dalam perzinaan dengan seseorang lain.

(2) Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima pemberian daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti apabila isteri itu berkahwin atau hidup dalam perzinaan dengan seseorang lain, melainkan jika perjanjian itu memperuntukkan selainnya.

Seksyen 66. Kuasa Mahkamah untuk mengubah perintah nafkah.

Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, sesuatu perintah nafkah yang masih berkuatkuasa, sama ada bercagar atau tak bercagar, atas permohonan orang yang berhak menerima atau yang kena membayar nafkah itu menurut perintah yang telah dibuat itu, jika Mahkamah berpuas hati, bahawa perintah itu telah diasaskan atas sesuatu salah pernyataan atau kesilapan fakta atau jika sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan.

Seksyen 67. Kuasa Mahkamah untuk mengubah perjanjian nafkah.

Tertakluk kepada seksyen 63, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah syarat-syarat sesuatu perjanjian tentang nafkah yang dibuat antara suami dan isteri, sama ada dibuat sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan, jika Mahkamah berpuas hati bahawa sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan, walau apa pun peruntukan yang berlawanan dalam perjanjian itu.

Seksyen 68. Nafkah yang kena dibayar di bawah perintah Mahkamah tidak boleh dipindahkan hak miliknya.

Nafkah yang kena dibayar kepada seseorang di bawah sesuatu perintah Mahkamah tidak boleh diserahhak atau dipindahmilik atau kena ditahan, diasingkan, atau dikenakan levi untuk, atau berkenaan dengan, apa-apa hutang atau tuntutan.

Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah.

(1) Tunggakan nafkah yang tak bercagar sama ada kena dibayar menurut perjanjian atau di bawah sesuatu perintah Mahkamah boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankarapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar dari harta pesakanya.

(2) Tunggakan nafkah yang tak bercagar yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri di sisi undang-undang orang itu.

Seksyen 70. Nafkah sementara.

(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan-alasan untuk membayar nafkah, Mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi membayar nafkah sementara yang akan berkuatkuasa sehingga dengan serta-merta dan terus berkuatkuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah.

(2) Suami boleh melaraskan nafkah sementara yang dibayar dengan amaun yang diperintah supaya dibayar untuk nafkah di bawah perintah Mahkamah, dengan syarat bahawa amaun yang diterima oleh isteri, setelah ditolak apa-apa potongan, adalah cukup untuk keperluan asasnya.

Seksyen 71. Hak tempat tinggal.

(1) Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.

(2) Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) akan terhenti -

(a) jika tempoh 'iddah telah tamat; atau

(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat; atau

(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula,

dan sesudah itu suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

Seksyen 72. Kewajipan menanggung nafkah anak.

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syara', supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Seksyen 73. Kuasa Mahkamah memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak.

(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya -

(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;

(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal-ehwal suami isteri; atau

(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan seseorang lain.

(2) Mahkamah adalah juga berkuasa memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syara' supaya membayar atau memberi sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.

(3) Sesuatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang-pemegang amanah bagi anak itu.

Seksyen 74. Kuasa bagi Mahkamah memerintahkan cagaran bagi nafkah seseorang anak.

(1) Mahkamah boleh, apabila memerintahkan pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak, memerintahkan orang yang bertanggungan membayar nafkah itu supaya memberi cagaran bagi kesemua atau sebahagian daripadanya dengan meletakhak apa-apa harta pada pemegang-pemegang amanah dengan amanah supaya membayar nafkah itu atau sebahagiannya daripada pendapatan harta itu.

(2) Kemungkiran mematuhi perintah menghendaki orang yang bertanggungan membayar nafkah itu meletakhak apa-apa harta pada pemegang amanah bagi maksud subseksyen (1) boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

Seksyen 75. Kuasa bagi Mahkamah mengubah perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak.

Mahkamah boleh, atas permohonan seseorang yang ada mempunyai kepentingan, pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah, atau boleh pada bila-bila masa membatalkan, sesuatu perintah mengenai penjagaan atau nafkah seseorang anak, jika Mahkamah berpuas hati bahawa perintah itu telah diasaskan atas sesuatu perubahan matan telah berlaku tentang hal keadaan.

Seksyen 76. Kuasa bagi Mahkamah mengubah perjanjian penjagaan atau nafkah seseorang anak.

Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa mengubah syarat-syarat sesuatu perjanjian berhubung dengan penjagaan atau nafkah seseorang anak, sama ada perjanjian itu dibuat sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan, walau apa pun peruntukan yang berlawanan dalam perjanjian itu, jika Mahkamah berpuas hati bahawa adalah munasabah dan untuk kebajikan anak itu berbuat demikian.

Seksyen 77. Menuntut tunggakan nafkah seseorang anak.

Seksyen 69 hendaklah dipakai, dengan pindaan yang sesuai, bagi perintah-perintah mengenai pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak.

Seksyen 78. Kewajipan menanggung nafkah kanak-kanak yang diterima sebagai ahli keluarga.

(1) Jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian, dan Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu.

(2) Kewajipan yang ditanggungkan oleh subseksyen (1) hendaklah terhenti jika kanak-kanak itu dibawa pergi oleh bapa atau ibunya.

(3) Apa-apa wang yang dibelanjakan oleh seseorang lelaki pada menanggung nafkah seseorang kanak-kanak sebagaimana dikehendaki oleh subseksyen (1) boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada bapa atau ibu kanak-kanak itu.

Seksyen 79. Lamanya tempoh perintah bagi nafkah anak.

Kecuali -

(a) jika sesuatu perintah mengenai nafkah seseorang anak dinyatakan sebagai selama tempoh yang lebih singkat; atau

(b) jika sesuatu perintah itu telah dibatalkan; atau

(c) jika sesuatu perintah itu dibuat untuk -

(i) seseorang anak perempuan yang belum berkahwin atau yang, oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya;

(ii) seorang anak lelaki yang oleh sebab sesuatu hilangupaya dari segi otak atau jasmani, tidak berkebolehan menanggung nafkah dirinya,

perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Seksyen 80. Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf.

(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(2) Jika tuntutan terhadap bapa yang disangkakan, tuntutan itu hendaklah dibawa dalam Mahkamah Majistret yang mana boleh memerintahkan bapa itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difiikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(3) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

BAHAGIAN VII - PENJAGAAN

Seksyen 81. Kewajipan menanggung nafkah anak-anak tak sahtaraf.

(1) Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sahtaraf yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya, memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(2) Jika tuntutan terhadap bapa yang disangkakan, tuntutan itu hendaklah dibawa dalam Mahkamah Majistret yang mana boleh memerintahkan bapa itu memberi apa-apa elaun bulanan yang difiikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(3) Elaun bulanan di bawah seksyen ini hendaklah kena dibayar dari tarikh bermulanya kecuaian atau keengganan menanggung nafkah itu atau dari sesuatu tarikh yang kemudian mengikut sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu.

Seksyen 82. Kelayakan-kelayakan yang perlu untuk penjagaan.

Hadinah, iaitu, perempuan yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika -

(a) dia adalah seorang Islam;

(b) dia adalah sempurna akal;

(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan

(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Seksyen 83. Bagaimana hak penjagaan hilang.

Hak seseorang perempuan terhadap hadanah adalah hilang -

(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dalam mana orang lelaki itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, tetapi adalah kembali semula apabila perkahwinan itu dibubarkan;

(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;

(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;

(d) jika perempuan itu murtad;

(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Seksyen 84. Lamanya penjagaan.

(1) Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

(2) Setelah tamatnya hak hadinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Seksyen 85. Penjagaan anak-anak tak sahtaraf.

Penjagaan kanak-kanak tak sahtaraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

Seksyen 86. Kuasa Mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan.

(1) Walau apa pun peruntukan seksyen 81, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan perintah memilih untuk meletakkan seseorang kanak-kanak dalam jagaan salah seorang daripada orang-orang yang tersebut di dalam seksyen itu atau, jika ada hal keadaan yang luar biasa yang menyebabkan tidak diingini bagi kanak-kanak itu diamanahkan kepada salah seorang daripada orang-orang itu, Mahkamah boleh dengan perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang lain atau mana-mana persatuan yang tujuan-tujuannya adalah termasuk kebajikan kanak-kanak.

(2) Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada -

(a) kemahuan-kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan

(b) kemahuan-kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.

(3) Adalah menjadi suatu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan.

(4) Jika ada dua orang atau lebih kanak-kanak dari sesuatu perkahwinan, Mahkamah tidaklah terikat meletakkan kedua-dua atau kesemuanya dalam jagaan orang yang sama tetapi hendaklah menimbangkan kebajikan tiap-tiap seorangnya secara berasingan.

Seksyen 87. Perintah tertakluk kepada syarat-syarat.

(1) Sesuatu perintah jagaan boleh dibuat tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan dan, tertakluk kepada syarat-syarat, jika ada, yang dipakai dari semasa ke semasa, perintah itu adalah menghakkan orang yang diberi jagaan itu untuk memutuskan semua soal berhubungan dengan pendidikan dan pelajaran kanak-kanak itu.

(2) Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1), sesuatu perintah jagaan boleh -

(a) mengandungi syarat-syarat tentang tempat di mana kanak-kanak itu akan tinggal dan cara pelajarannya;

(b) mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu berada bagi sementara dalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan itu;

(c) mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang dari keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau tidak diberi jagaan pada masa-masa dan bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah;

(d) memberi ibu atau bapa yang telah mati atau tidak diberi jagaan hak untuk berjumpa dengan kanak-kanak itu pada masa-masa dan dengan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh mahkamah; atau

(e) melarang orang yang diberi jagaan itu daripada membawa kanak-kanak itu keluar dari Malaysia.

Seksyen 88. Orang-orang yang berhak kepada penjagaan.

Penjagaan ke atas Orang dan Harta

(1) Sungguh pun hak terhadap hadanah atau penjagaan anak mungkin terletak pada seseorang lain, bapa adalah penjaga hakiki yang pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah turun kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu -

(a) datuk lelaki di sebelah bapa;

(b) wasi yang dilantik menurut wasiat bapa;

(c) wasi kepada wasi bapa;

(d) wasi datuk lelaki di sebelah bapa;

(e) wasi kepada wasi datuk di sebelah bapa;

dengan syarat bahawa dia adalah seorang Islam, seorang dewasa, adalah siuman, dan boleh dipercayai.

(2) Bapa adalah sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat apa-apa perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan anak-anaknya yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi kepentingan-kepentingan mereka, dengan syarat bahawa dia adalah siuman sepenuhnya.

(3) Subseksyen (1) tidaklah terpakai jika had-had dan syarat-syarat bagi suratcara yang meletakkan harta pada kanak-kanak itu terang-terang tidak membenarkan orang-orang yang tersebut di dalamnya daripada menjalankan apa-apa kuasa ke atas harta itu, dan dalam hal yang demikian Mahkamah hendaklah melantik seorang penjaga bagi harta itu, dan dalam hal yang demikian Mahkamah hendaklah melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.

(4) Bagi maksud-maksud penjagaan ke atas diri dan harta, seseorang hendaklah disifatkan sebagai kanak-kanak melainkan dia telah genap umur lapan belas tahun.

Seksyen 89. Kuasa ke atas harta takalih dan harta alih.

(1) Berkenaan dengan harta takalih, seseorang penjaga di sisi undang-undang tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menjual, kecuali dalam hal-hal yang berikut, iaitu -

(a) jika, dengan menjual harta itu kepada orang luar, dia boleh mendapat harga sekurang-kurangnya dua kali ganda harga harta itu;

(b) jika kanak-kanak itu tidak mempunyai apa-apa mata pencarian lain, dan penjualan itu adalah benar-benar perlu untuk menanggung nafkahnya, dan kanak-kanak itu tidak mempunyai apa-apa harta lain;

(c) jika harta itu perlu dijual bagi maksud menjelaskan hutang pewasiat, yang tidak dapat diselesaikan jika harta itu tidak dijual;

(d) jika ada sesuatu peruntukan am dalam wasiat pewasiat itu yang tidak dapat dikuatkuasakan dengan tidak dijual harta itu;

(e) jika pendapatan yang terkumpul dari harta pesaka itu tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaan yang telah dilakukan dalam menguruskannya dan untuk membayar hasil tanah;

(f) jika harta itu sedang diancami bahaya yang akan menyebabkannya menjadi musnah atau binasa oleh kerana reput;

(g) jika harta itu ada dalam tangan orang yang tidak berhak kepadanya, dan penjaga itu ada sebab bagi mengkhuatiri bahawa tidak ada peluang bagi mendapatkan pemulihan yang saksama; atau

(h) dalam sesuatu hal lain, jika harta itu benar-benar perlu dijual atas alasan-alasan lain yang dibenarkan oleh Hukum Syara' dan penjualan itu adalah nyata atau jelas sekali untuk faedah kanak-kanak itu.

(2) Berkenaan dengan harta alih, seseorang penjaga di sisi undang-undang adalah mempunyai kuasa menjual atau menyandarkan barang-barang dan hartabenda kanak-kanak itu, jika dia berkehendakkan keperluan-keperluan yang mustahak, seperti makanan, pakaian dan asuhan; dan jika harta alih seseorang kanak-kanak adalah dijual dengan ikhlas dan jujur bagi sesuatu balasan yang memadai dengan tujuan untuk melaburkan hasil jualan itu dengan selamat dan untuk memperolehi pendapatan tambahan, maka penjualan harta itu hendaklah dikira sebagai sah.

Seksyen 90. Perlantikan penjaga-penjaga oleh Mahkamah.

(1) Jika tidak ada penjaga-penjaga di sisi undang-undang, maka kewajipan bagi melantik seseorang penjaga untuk memperlindungi dan memelihara harta kanak-kanak itu adalah terletak ke atas Mahkamah dan pada membuat sesuatu perlantikan Mahkamah hendaklah terutama sekali memberi pertimbangan-pertimbangan kepada kebajikan kanak-kanak itu.

(2) Pada menimbangkan apakah akan menjadi kebajikan bagi kanak-kanak itu, Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang umur dan jantina kanak-kanak itu, watak dan kebolehan penjaga yang dicadangkan itu dan bagaimana karibnya persaudaraannya dengan kanak-kanak itu; kemahuan-kemahuan, jika ada, ibu bapanya yang telah mati, dan apa-apa hubungan penjaga yang dicadangkan itu yang sedia ada dan yang dahulu dengan kanak-kanak itu atau dengan hartanya, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur membolehkannya untuk membuat sesuatu pilihan yang bijak, maka Mahkamah boleh menimbangkan pilihannya itu.

Seksyen 91. Perlantikan ibu sebagai penjaga melalui wasiat.

Seseorang ibu, sama ada seorang Islam atau seorang Kitabiyah, boleh dilantik dengan sah menjadi wasi bagi bapa, dan dalam hal yang demikian ibu itu boleh menjalankan kuasa-kuasanya sebagai penjaga melalui wasiat atau, jika tidak ada seorang penjaga di sisi undang-undang ia boleh dilantik sebagai penjaga di sisi undang-undang ia boleh dilantik sebagai penjaga di sisi undang-undang oleh Mahkamah, tetapi jika dia tidak dilantik sebagai demikian maka dia tidak boleh membuat apa-apa urusan mengenai harta kanak-kanak itu.

Seksyen 92. Penjaga bersama dengan ibu.

Jika Mahkamah melantik ibu menjadi penjaga, Mahkamah boleh juga melantik seorang lain menjadi penjaga sama ada bagi diri atau harta kanak-kanak itu atau kedua-duanya, untuk bertindak bersama dengan ibu itu.

Seksyen 93. Perubahan kuasa penjaga harta.

Pada melantik seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak, Mahkamah boleh, dengan perintah, menentukan, menyekat, atau memperluaskan kuasa penjaga berhubungan dengannya, setakat mana yang perlu bagi kebajikan kanak-kanak itu.

Seksyen 94. Pemecatan penjaga.

Mahkamah boleh pada bila-bila masa dan dari semasa ke semasa memecat seseorang penjaga, sama ada seorang ibu bapa atau orang lain dan sama ada dia adalah penjaga bagi diri atau harta kanak-kanak, dan boleh melantik seorang lain menjadi penjaga untuk menggantikannya.

Seksyen 95. Cagaran hendaklah diberi.

(1) Jika seseorang dilantik oleh Mahkamah menjadi penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak maka dia hendaklah, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya, memberi cagaran dengan nilai sebanyak mana yang ditetapkan bahawa dia akan melaksanakan kewajipan-kewajipan sebagai penjaga dengan sewajarnya.

(2) Cagaran itu hendaklah diberi mengikut cara yang ditetapkan pada masa itu bagi penerima-penerima yang dilantik oleh Mahkamah; dan penjaga yang dilantik itu hendaklah mengemukakan akaun-akaunnya pada tempoh-tempoh yang diperintahkan, dan hendaklah membayar apa-apa baki yang diperakui kena dibayar olehnya ke dalam Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan bagi penerima-penerima.

Seksyen 96. Had kuasa bagi penjaga yang dilantik oleh Mahkamah.

(1) Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak yang dilantik oleh Mahkamah tidak boleh, tanpa kebenaran Mahkamah -

(a) menjual, menggadaikan, menggadai janji, menukar, ataupun dengan cara lain melepaskan milik mana-mana harta alih atau harta takalih kanak-kanak itu; atau

(b) memajakkan mana-mana tanah kepunyaan kanak-kanak itu selama tempoh lebih daripada satu tahun.

(2) Apa-apa pelupusan harta seseorang kanak-kanak yang dilakukan bersalahan dengan seksyen ini boleh ditetapkan sebagai taksah, dan atas penetapan itu Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang pada pendapatnya perlu untuk mengembalikan harta yang dilupuskan itu kepada kanak-kanak itu.

(3) Mahkamah tidak boleh membuat apa-apa perintah di bawah subseksyen (2) melainkan jika perlu atau baik bagi kepentingan kanak-kanak itu.

Seksyen 97. Penjaga tidak boleh memberi akuan penyelesaian mengenai harta modal.

Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak yang dilantik oleh Mahkamah tidak boleh, melainkan jika Mahkamah memerintah sebaliknya dalam suatu hal, diberi kuasa untuk memberi akuan penyelesaian yang sewajarnya bagi apa-apa legasi atau apa-apa wang modal lain yang kena dibayar kepada atau boleh diterima oleh kanak-kanak itu.

Seksyen 98. Penjaga boleh menanggung kanak-kanak dari pendapatan.

(1) Seseorang penjaga bagi harta seseorang kanak-kanak yang dilantik oleh Mahkamah boleh membuat peruntukan yang berpatutan dari pendapatan harta itu untuk menanggung nafkah dan pelajaran kanak-kanak itu memandang kepada taraf kehidupan kanak-kanak itu; tetapi tiada apa-apa jumlah wang lebih daripada tiga ratus ringgit sebulan boleh digunakan sedemikian tanpa kebenaran Mahkamah.

(2) Jika pendapatan dari harta kanak-kanak itu yang ada dalam tangan penjaga itu tidak mencukupi bagi maksud itu, atau jika wang adalah dikehendaki untuk kemajuan kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh memerintahkan supaya peruntukan bagi maksud itu diadakan dari harta kanak-kanak itu dijual, digadaikan, atau digadai janji dan boleh memberi apa-apa arahan mengenainya sebagaimana yang perlu bagi kepentingan kanak-kanak itu.

Seksyen 99. Perintah khas mengenai harta kecil.

(1) Jika memandang kepada taraf kehidupan kanak-kanak itu dan kepada nilai hartanya dan juga kepada segala hal keadaan kes yang berkenaan adalah didapati bermanfaat supaya harta modal kanak-kanak itu digunakan bagi menanggung nafkah, pelajaran, atau kemajuannya dengan cara yang boleh mengelakkan belanja bagi membuat permohonan kepada Mahkamah, maka Mahkamah, daripada melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu, boleh memerintahkan supaya segala harta kanak-kanak itu, dari apa jua jenis pun, diletakkan dalam tangan seseorang yang akan dilantik oleh Mahkamah, dengan kuasa penuh untuk membuat apa-apa urusan dan untuk menggunakan harta itu bagi maksud yang tersebut di atas menurut budi bicaranya sendiri bebas dari apa-apa kawalan; dan dalam hal yang demikian resit dari orang yang dilantik itu adalah menjadi akuan penyelesaian yang sewajarnya bagi sesiapa jua yang membuat apa-apa pembayaran atau pindahmilik apa-apa harta kepadanya bagi pihak kanak-kanak itu.

(2) Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (1) boleh diperintahkan oleh Mahkamah supaya mengemukakan suatu akuan mengenai urusan-urusan yang dibuat olehnya mengenai harta kanak-kanak itu.

(3) Mahkamah boleh, kerana sesuatu sebab yang memadai, membatalkan apa-apa perintah, atau memansuhkan apa-apa perlantikan, yang dibuat di bawah subseksyen (1), dan boleh melantik seorang lain dengan memberi kepadanya kuasa yang sama atau apa-apa kuasa yang lebih besar atau lebih kecil yang difikirkannya patut, atau boleh melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.

Seksyen 100. Permohonan untuk mendapatkan pendapat , dsb.

Seseorang penjaga boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan pendapat, nasihat, atau budi bicaranya atas apa-apa soal mengenai pengurusan atau pentadbiran harta kanak-kanak itu.

Seksyen 101. Perintah larangan oleh Mahkamah.

(1) Walau apa pun peruntukan-peruntukan seksyen 89, Mahkamah boleh, jika ia fikirkan perlu berbuat demikian, membuat suatu perintah melarang bapa atau datuk lelaki di sebelah bapa seorang kanak-kanak atau wasi-wasi mereka masing-masing atau wasi-wasi kepada wasi-wasi mereka masing-masing dari -

(a) menjual, menggadaikan, menggadai janji, menukar, ataupun dengan cara lain melepaskan milik mana-mana harta alih atau harta takalih kanak-kanak itu; atau

(b) memajakkan mana-mana tanah kepunyaan kanak-kanak itu selama tempoh lebih daripada satu tahun,

tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Mahkamah.

(2) Apa-apa pelupusan harta seseorang kanak-kanak bersalahan dengan perintah itu boleh ditetapkan sebagai taksah, dan atas penetapan itu Mahkamah boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya perlu untuk mengembalikan harta yang dilupuskan itu kepada kenak-kanak itu.

(3) Mahkamah tidak boleh membuat apa-apa perintah di bawah subseksyen (2) melainkan jika perlu atau baik bagi kepentingan kanak-kanak itu.

Seksyen 102. Penjaga bagi anak yatim.

Jika bapa dan datuk lelaki seseorang kanak-kanak telah mati tanpa melantik seorang penjaga melalui wasiat, mana-mana penghulu, pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan, mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak itu, atau mana-mana orang yang ada mempunyai kuasa-kuasa seorang Pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang-Orang Muda 1947 [Akta 232.], boleh menyebabkan kanak-kanak itu dibawa ke hadapan Mahkamah dan Mahkamah boleh melantik seorang penjaga sama ada bagi diri atau bagi harta kanak-kanak itu, atau kedua-duanya.

Seksyen 103. (Dipotong)

[Dipotong oleh Akta A902:s30].

Seksyen 104. Mahkamah hendaklah mengambil kira tentang nasihat pegawai kebajikan, dsb.

Apabila menimbangkan apa-apa soal berhubungan dengan jagaan atau nafkah seseorang kanak-kanak, Mahkamah hendaklah, bila-bila masa yang mungkin, menerima nasihat seseorang, sama ada pegawai awam atau tidak, yang terlatih atau berpengalaman dalam kebajikan kanak-kanak tetapi Mahkamah tidaklah terikat untuk menuruti nasihat itu.

Seksyen 105. Kuasa Mahkamah untuk menghalang anak dibawa keluar dari Malaysia

(1) Mahkamah boleh, atas permohonan bapa atau ibu seseorang anak—

(a) jika keputusan sesuatu perbicaraan hal ehwal suami isteri belum selesai;(b) jika, di bawah sesuatu perjanjian atau di bawah perintah Mahkamah, hanya ibu sahaja atau bapa sahaja ada mempunyai jagaan atas anak itu manakala yang satu lagi itu tidak ada mempunyai jagaan,

mengeluarkan suatu injunksi menahan pihak yang satu lagi itu daripada membawa anak itu keluar dari Malaysia atau Mahkamah boleh membenarkan anak itu dibawa keluar daripada Malaysia sama ada tanpa syarat atau tertakluk kepada apa-apa syarat atau aku janji yang difikirkan patut oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh, atas permohonan mana-mana orang yang mempunyai kepentingan, mengeluarkan suatu injunksi menahan seseorang, selain orang yang mempunyai jagaan atas kanak-kanak itu, daripada membawa seseorang kanak-kanak keluar dari Malaysia.

(3) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

Relif-relif Lain

Seksyen 106. Kuasa bagi Mahkamah membatalkan dan menghalang perpindahan yang dimaksudkan untuk mengecewakan tuntutan nafkah

(1) Jika—

(a) apa-apa perbicaraan hal ehwal suami isteri belum selesai; atau(b) sesuatu perintah telah dibuat di bawah seksyen 56, 59, atau 73 dan belum lagi dibatalkan; atau(c) nafkah kena dibayar di bawah apa-apa perjanjian kepada atau untuk faedah seorang isteri atau isteri yang dahulu atau anak,

Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan—

(i) jika ia berpuas hati bahawa apa-apa perpindahan harta telah dilakukan oleh suami atau suami yang dahulu atau ibu atau bapa bagi orang yang telah membuat atau yang bagi pihaknya telah dibuat permohonan itu, dalam masa tiga tahun sebelumnya, dengan tujuan di pihak orang yang melakukan perpindahan itu hendak mengurangkan kemampuannya membayar nafkah atau kemampuan suami itu membayar mut’ah atau hendak menghalang isterinya daripada apa-apa hak berhubungan harta itu, tertakluk kepada subseksyen (2), menghendaki orang yang membuat perpindahan itu membatalkan perpindahan itu; dan(ii) jika ia berpuas hati bahawa apa-apa perpindahan harta dicadang hendak dilakukan dengan sesuatu tujuan yang demikian, memberi suatu injunksi menghalang perpindahan itu.

(2) Bagi maksud seksyen ini—

“harta” ertinya apa-apa jenis harta, alih atau tak alih, dan termasuklah wang;“perpindahan” termasuklah suatu penjualan, pemberian, pajakan, gadai janji, atau apa-apa transaksi lain yang dengannya pemunyaan atau pemilikan harta itu adalah dipindah milik atau dibebankan tetapi tidak termasuk suatu perpindahan yang dilakukan kerana wang atau suatu bernilai wang kepada atau untuk faedah seseorang yang bertindak dengan suci hati dan dengan tidak mengetahui tujuan perpindahan itu dilakukan.

(3) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

Seksyen 107. Injunksi terhadap gangguan

(1) Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa dalam masa perbicaraan hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau pada atau selepas pemberian sesuatu perintah perceraian, fasakh, atau pembatalan, memerintahkan seseorang menahan dirinya daripada mengganggu atau menceroboh; dengan apa-apa cara pun ke atas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.

(2) Kemungkiran mematuhi sesuatu perintah yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan terhadap Mahkamah.

BAHAGIAN VIII - PELBAGAI

Seksyen 108. Pengiktirafan perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Wilayah Persekutuan

(1) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Wilayah Persekutuan, selain perkahwinan yang diakadnikahkan di sesuatu Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul Malaysia di bawah seksyen 24 hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Akta ini jika—

(a) perkahwinan itu telah dilakukan mengikut cara yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang tempat di mana ia telah dilakukan;(b) setiap satu pihak itu mempunyai, pada masa perkahwinannya itu, keupayaan berkahwin di bawah undang-undang tempat bermastautinnya; dan(c) jika salah satu pihak itu adalah seorang pemastautin di Wilayah Persekutuan, kedua-dua pihak ada mempunyai keupayaan berkahwin mengikut Akta ini.

(2) [Dipotong oleh Akta A902:s.31].

Seksyen 109. Pengiktirafan perkahwinan yang dilakukan di Kedutaan, dsb., di Wilayah Persekutuan

(1) Sesuatu perkahwinan orang Islam yang bukan warganegara Malaysia yang dilakukan di sesuatu Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul negara asing di Wilayah Persekutuan hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Akta ini jika—

(a) perkahwinan itu telah dilakukan mengikut cara yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang negara Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau Pejabat Konsul itu, atau mengikut cara yang dibenarkan di bawah Akta ini;(b) setiap satu pihak itu ada mempunyai, pada masa perkahwinannya itu, keupayaan berkahwin di bawah undang-undang tempat bermastautinnya; dan(c) jika salah satu pihak itu adalah seorang pemastautin di Wilayah Persekutuan, kedua-dua pihak ada mempunyai keupayaan berkahwin mengikut Akta ini.

(2) [Dipotong oleh Akta A902: s.32].

Kesahtarafan Anak

Seksyen 110. Siapakah yang dikaitkan sebagai bapa

Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara li’an atau kutukan, menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.

Seksyen 111. Kelahiran lebih empat tahun selepas pembubaran perkahwinan

Jika anak itu dilahirkan lebih daripada empat tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika lelaki itu atau mana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu.

Seksyen 112. Kelahiran selepas pengakuan bahawa ‘iddah telah tamat

Jika seorang perempuan, yang tidak berkahwin semula, membuat satu pengakuan bahawa tempoh ‘iddahnya telah tamat sama ada ‘iddah itu adalah oleh sebab kematian atau perceraian dan perempuan itu kemudiannya melahirkan seorang anak, maka suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itu melainkan jika anak itu telah dilahirkan kurang daripada empat tahun qamariah dari tarikh perkahwinan itu dibubarkan oleh sebab kematian suaminya itu atau oleh sebab perceraian.

Seksyen 113. Persetubuhan syubhah

Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.

 Seksyen 114. Syarat-syarat bagi pengakuterimaan yang sah

Jika seseorang lelaki mengaku seorang lain, sama ada dengan nyata atau dengan tersirat, sebagai anaknya yang sah, lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu jika syarat-syarat yang berikut dipenuhi, iaitu—

(a) tiada seseorang lain disifatkan sebagai bapa anak itu;(b) perbezaan antara umur lelaki itu dengan umur anak itu memunasabahkan pertalian antara mereka sebagai bapa dan anak;(c) jika anak itu telah akil baligh, di mana dia boleh membuat keputusan, anak itu telah mempersetujui tentang dia diakui sebagai anak;(d) lelaki dan ibu anak itu mungkin boleh disatukan dengan sah dalam perkahwinan pada masa pembenihan;(e) pengakuterimaan itu bukannya semata-mata mengakui anak itu sebagai anaknya, tetapi mengakui anak itu sebagai anak sah tarafnya;(f) lelaki itu adalah berkeupayaan membuat kontrak;(g) pengakuterimaan itu dibuat dengan tujuan semata-mata untuk memberi taraf kesahtarafan;(h) pengakuterimaan itu adalah jelas maksudnya dan anak itu adalah diakui sebagai anak kandungnya.

Seksyen 115. Anggapan daripada pengakuterimaan boleh dipatahkan

Anggapan yang berbangkit daripada pengakuterimaan yang dibuat oleh seseorang bahawa dia adalah bapa kepada seseorang yang diakuinya sebagai anak boleh dipatahkan hanya dengan—

(a) penolakan di pihak orang yang telah diakui sebagai anak itu;(b) bukti bahawa perbezaan umur antara pihak yang mengaku dan pihak yang diakui adalah sebegitu kecil, atau bahawa umur pihak yang diakui adalah sebegitu tinggi, hingga menyebabkan pertalian yang dikatakan itu mustahil dari segi fizikal;(c) bukti bahawa pihak yang diakui itu adalah sebenarnya anak seorang lain; atau(d) bukti bahawa ibu anak itu tidak mungkin menjadi isteri yang sah kepada pihak yang mengaku pada masa percantuman benih anak itu.

Seksyen 116. Pengakuterimaan oleh perempuan yang sedang dalam ‘iddah

Jika orang yang membuat pengakuterimaan itu adalah seorang perempuan yang berkahwin atau yang sedang dalam ‘iddah, suami perempuan itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa kepada orang yang diakui itu melainkan jika pengakuan perempuan itu disahkan oleh suaminya itu atau disahkan dengan keterangan.

Seksyen 117. Mengakuterima seorang lain sebagai ibu atau bapa

Jika seseorang mengaku terima seorang lain sebagai bapa atau ibunya, maka pengakuterimaan itu, jika dipersetujui atau disahkan oleh orang yang diaku terima itu, sama ada dalam masa hayat atau selepas kematian orang yang mengaku terima itu, adalah menjadi suatu perkeluargaan yang sah, setakat mana perhubungan di antara bapa atau ibu dengan anak itu sahaja, dengan syarat bahawa memandang kepada umur orang yang membuat pengakuan dan umur orang yang diterima itu maka adalah munasabah orang yang diaku terima itu menjadi ibu atau bapa kepada orang yang mengaku terima sedemikian.

Seksyen 118. Pengakuterimaan lain daripada sebagai anak, ibu, atau bapa

Jika seseorang mengaku terima seorang lain sebagai seorang keluarga, selain sebagai seorang anak, ibu, atau bapa, pengakuterimaan itu tidak boleh menyentuh mana-mana orang lain melainkan orang lain itu mengesahkan pengakuterimaan itu.

Seksyen 119. Pengakuterimaan tidak boleh dibatalkan

Sebaik sahaja pengakuterimaan atau pengesahan dibuat berkenaan dengan pertalian sebagai bapa dan anak atau hubungan perkeluargaan atau persaudaraan, maka pengakuterimaan atau pengesahan itu tidak boleh dibatalkan.

Perintah supaya Hidup Bersama Semula

Seksyen 120. Permohonan oleh isteri yang ditinggal langsung

Jika seseorang telah tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh Hukum Syarak, isteri itu boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya.

Rayuan

Seksyen 121. Rayuan

Mana-mana orang yang terkilan dengan mana-mana keputusan mana-mana Mahkamah, atau mana-mana Pendaftar di bawah Akta ini boleh merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Seksyen 122. (Dipotong)

[Dipotong oleh Akta A902:s.35].

BAHAGIAN IX - PENALTI

Seksyen 123. Poligami tanpa kebenaran Mahkamah

Seseorang lelaki, berkahwin lagi di mana-mana jua pun dalam masa perkahwinannya yang sedia ada masih berterusan tanpa mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu dari Mahkamah maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

 Seksyen 124. Perceraian di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah

Seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 125. Tidak membuat laporan

(1) Sesiapa sahaja yang berkewajipan membuat sesuatu laporan di bawah Akta ini dan dia dengan sengaja cuai atau tidak berbuat demikian maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(2) Sesiapa sahaja yang berkewajipan membuat sesuatu laporan atau dikehendaki mengemukakan sesuatu permohonan di bawah Akta ini atau dikehendaki memberi sesuatu maklumat atau menyempurnakan atau menandatangani apa-apa dokumen yang perlu di sisi undang-undang bagi maksud melaksanakan pendaftaran dokumen itu dan dia dengan sengaja cuai atau tidak membuat laporan itu atau mematuhi kehendak itu maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 126. Meninggal langsung isteri

Mana-mana orang telah diperintahkan oleh Mahkamah supaya hidup bersama semula dengan isterinya dan dia bersengaja cuai atau tidak mematuhi perintah itu maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi seribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 127. Menganiaya isteri

Mana-mana orang yang menganiaya isterinya atau menipu harta isterinya melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 128. Tidak memberi keadilan yang sewajarnya kepada isteri

Mana-mana orang yang tidak memberi keadilan sewajar kepada isterinya mengikut Hukum Syarak melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 129. Isteri tidak menurut perintah

Seseorang perempuan yang dengan sengaja tidak menurut sesuatu perintah yang diberi oleh suaminya yang sah mengikut Hukum Syarak melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ratus ringgit atau, bagi kesalahan kali kedua atau kali kemudiannya, denda tidak melebihi lima ratus ringgit.

Seksyen 130. Jadi murtad untuk membatalkan perkahwinan

Mana-mana orang yang tidak suka akan suami atau isterinya dan dengan perdayaan menjadikan dirinya murtad untuk membatalkan perkahwinannya melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum penjara tidak melebihi setahun. [Pin. Akta A902:s.37]

Seksyen 131. Persetubuhan luar nikah antara orang yang bercerai

(1) Seseorang lelaki yang, setelah menceraikan dengan sah isterinya, bersekedudukan semula dengannya tanpa terlebih dahulu melafazkan ruju’ yang sah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi lima ratus ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

(2) Jika isterinya itu tidak tahu pada masa persekedudukan semula itu tentang telah berlakunya perceraian itu, maka suami itu melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

(3) Seseorang perempuan yang bersubahat melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 132. Kecuaian dengan sengaja untuk mematuhi perintah

[Pin. Akta A902:s.39]


(1) Tanpa menjejaskan hak mana-mana orang yang mempunyai kepentingan di bawah mana-mana perintah yang dibuat di bawah Akta ini untuk menguatkuasakan perintah di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang lain, Mahkamah yang telah membuat perintah itu, dalam hal kegagalan dengan sengaja untuk mematuhinya, boleh, jika perintah sedemikian menghendaki pembayaran apa-apa amaun, mengarahkan amaun yang kena dibayar itu dilevi mengikut cara yang diperuntukkan oleh undang-undang bagi melevi denda yang dikenakan oleh Mahkamah atau boleh menjatuhkan hukuman pemenjaraan kepada orang yang dengan sengaja gagal mematuhinya jika perintah pembayaran tiap-tiap bulan masih belum dibayar, atau, dalam mana-mana hal yang lain, pembayaran satu tahun yang masih belum dibayar.

(2) Mahkamah boleh—

(a) jika perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) menetapkan bagi pembayaran dibuat secara bulanan, menghukum orang yang dengan sengaja gagal mematuhinya dengan pemenjaraan tidak melebihi sebulan bagi setiap bayaran bulanan yang masih belum dibayar; dan(b) dalam mana-mana hal lain, menghukum orang yang dengan sengaja gagal mematuhi perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) dengan pemenjaraan tidak melebihi setahun bagi mana-mana pembayaran yang masih belum dibayar.

Seksyen 133. Percubaan dan subahat

Sesiapa sahaja yang cuba melakukan, atau bersubahat melakukan, suatu kesalahan di bawah Akta ini melakukan suatu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sama seperti yang diperuntukkan bagi kesalahan itu.

BAHAGIAN X - AM

Seksyen 134. Kuasa bagi membuat kaedah-kaedah

(1) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, membuat kaedah-kaedah untuk mengawal amalan dan tatacara dalam semua prosiding hal ehwal suami isteri di bawah Akta ini mengikut sebagaimana yang difikirkannya suai manfaat dan kaedah-kaedah untuk menetap dan mengawal fi dan kos yang kena dibayar dalam semua prosiding itu; tertakluk kepadanya itu, semua prosiding di bawah Akta ini hendaklah dikawal oleh amalan dan tatacara Mahkamah yang ditetapkan oleh Enakmen Pentadbiran, setakat mana amalan dan tatacara itu tidak berlawanan dengan Akta ini.

(2) Mengenai perkara amalan dan tatacara dalam prosiding hal ehwal suami isteri yang tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini atau dalam apa-apa kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini atau dalam Enakmen Pentadbiran, Mahkamah boleh memakai apa-apa amalan dan tatacara yang difikirkannya wajar bagi mengelakkan ketidakadilan dan bagi menyelesaikan perkara yang dipersoalkan antara pihak-pihak.

(3) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, membuat kaedah-kaedah bagi maksud Akta ini dan, tanpa menyentuh keluasan yang tersebut itu, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan bagi—

(a) cara bagaimana Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam hendak menjalankan kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Akta ini;(b) bentuk Daftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ dan surat perakuan nikah, perceraian, dan ruju’ dan cara bagaimana Daftar dan surat perakuan dikehendaki disimpan;(c) membekal dan menyimpan dalam jagaan selamat Daftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’, buku nota Pendaftar, dan segala akuan yang dibuat bagi maksud Akta ini;(d) menyediakan dan mengemukakan penyata perkahwinan, perceraian, dan ruju’ yang didaftarkan di bawah Akta ini;(e) bentuk apa-apa perakuan, notis, atau dokumen lain yang dikehendaki bagi maksud melaksanakan Akta ini;(f) membuat carian dan memberi salinan yang diakui sah;(g) fi yang boleh dikenakan bagi maksud Akta ini;(h) hukuman kerana melanggar atau tidak mematuhi mana-mana kaedah yang dibuat di bawah Akta ini; dan(i) perkara lain bagi maksud melaksanakan Akta ini.

Seksyen 135. Pemberhentian pemakaian Enakmen Selangor 3 tahun 1952

Bahagian VI, VII, seksyen 155, 156, 158, 159, 160, dan perenggan 178(n) Enakmen Pentadbiran adalah dengan ini dimansuhkan dan hendaklah oleh sebab itu terhenti daripada terpakai bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.*

[Pin. Akta A828:s.7]

*CATATAN — Peruntukan ini juga terpakai kepada Wilayah Persekutuan Labuan — lihat seksyen 8 Akta A828:s.8

Bahagian VI, VII, seksyen 155, 156, 158, 159, 160, dan perenggan 178(n) Enakmen Pentadbiran adalah dengan ini dimansuhkan dan hendaklah oleh sebab itu terhenti daripada terpakai bagi Wilayah Persekutuan Labuan.