201908.27
0
1

Akta Pentadbiran Undang-undang Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993

Spread the love

AKTA 505
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993
mengandungi pindaan terkini - P.U.(A) 250/2002

Tarikh Persetujuan Diraja : 7 Julai 1993
Tarikh diterbitkan dalam Warta : 15 Julai 1993
Tarikh mula berkuatkuasa ditetapkan: 15 Oktober 1993 [P.U.(B) 452/1993]

BAHAGIAN I - PERMULAAN

Seksyen 1. Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuatkuasa.

(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan terpakai hanya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

[Pin. P.U.(A) 250/2002:s.3]

(2) Akta ini hendaklah mula berkuatkuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui pemberitahuan dalam Warta.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan tarikh-tarikh yang berlainan bagi mula berkuatkuasanya peruntukan-peruntukan yang berlainan dalam Akta ini.

Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain--

"anak kariah" ertinya seseorang yang secara tetap atau pada lazimnya tinggal dalam kariah masjid;

"Enakmen" ertinya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 bagi Negeri Selangor--

(a) berhubungan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagaimana yang diubahsuaikan oleh Perintah-Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1974 [P.U.(A) 44/74], 1981[P.U.(A) 390/81] dan 1988 [P.U.(A) 163/88] yang dibuat menurut seksyen 6(4) Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1973 [Akta A206] dan berkuatkuasa di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurut kuasa seksyen 6(1) Akta itu dan Akta Pentadbiran Hukum Syarak (Pindaan) 1984 [Akta A576]; 

[Pin. P.U.(A) 250/2002:s.4]

(b) berhubungan dengan Wilayah Persekutuan Labuan, sebagaimana yang diubahsuaikan dan diperluaskan melalui Perintah Wilayah Persekutuan Labuan (Pengubahsuaian dan Perluasan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1985 [P.U.(A) 352/85] yang dibuat menurut seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 1984 [Akta A585]; dan

[Pin. P.U.(A) 250/2002:s.4]

(c) berhubung dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya, sebagaimana yang diperluas dan diubahsuaikan oleh Perintah Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pemerluasan dan Ubah Suaian Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993) 2002 [P.U. (A) 250/2002] yang dibuat menurut seksyen 7 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095];

[Mas. P.U.(A) 250/2002:s.4]

"Hakim Syarie" atau "Hakim" ertinya Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang dilantik di bawah seksyen 43(1) tetapi tidak termasuk Hakim Mahkamah Rendah Syariah yang dilantik di bawah seksyen 44(1);

"Hukum Syarak" ertinya Undang-Undang Islam mengikut mana-mana Mazhab yang diiktiraf;

"Imam" ertinya Imam yang dilantik di bawah seksyen 76(3);

"Imam Ratib" ertinya Imam Ratib yang dilantik di bawah seksyen 76(4);

"jawatankuasa kariah" ertinya jawatankuasa kariah yang ditubuhkan di bawah kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen 81;

"Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak" ertinya Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang ditubuhkan di bawah seksyen 37(1);

"kariah masjid", berhubungan dengan sesuatu masjid, ertinya kawasan yang sempadannya ditentukan di bawah seksyen 75 yang di dalamnya masjid itu terletak;

"Ketua Hakim Syarie" ertinya Ketua Hakim Syarie yang dilantik di bawah seksyen 41(1);

"Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama" dan "Pegawai Penguatkuasa Agama" ertinya pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah seksyen 58(4);

"Ketua Pendakwa Syarie" ertinya pegawai yang dilantik di bawah seksyen 58(1);

"Kumpulan Wang" ertinya Kumpulan Wang yang dikenali sebagai Baitulmal yang ditubuhkan di bawah seksyen 60;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah seksyen 40;

"Majlis" ertinya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah seksyen 4(1);

"masjid" ertinya suatu bangunan yang digunakan bagi sembahyang Jumaat dan sembahyang lain dan kegiatan-kegiatan yang disuruh, disyorkan, atau dibenarkan oleh agama Islam, dan termasuk mana-mana masjid atau surau atau madrasah yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga;

"Menteri" ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pentadbiran agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan;

"Mufti" ertinya orang yang dilantik menjadi Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan di bawah seksyen 32, dan termasuk Timbalan Mufti;

"nazr" ertinya suatu ikrar yang dilafazkan untuk melakukan sesuatu perbuatan atau mewakafkan harta bagi apa-apa maksud yang dibenarkan oleh Hukum Syarak;

"nazr 'am" ertinya suatu nazr yang dimaksudkan keseluruhannya atau sebahagiannya bagi faedah masyarakat Islam amnya atau mana-mana bahagian masyarakat Islam, dan bukanlah bagi seorang individu atau individu-individu;

"orang Islam" ertinya--

(a) seseorang yang menganut agama Islam;

(b) seseorang yang salah seorang atau kedua ibu bapanya, pada masa kelahiran orang itu, ialah orang Islam;

(c) seseorang yang cara dia dibesarkan telah dijalankan atas asas bahawa dia orang Islam;

(d) seseorang yang telah masuk Islam mengikut kehendak-kehendak seksyen 85;

(e) seseorang yang lazimnya dikenali sebagai orang Islam; atau

(f) seseorang yang ditunjukkan telah menyatakan, dalam hal keadaan di mana dia terikat oleh undang-undang untuk menyatakan yang benar, bahawa dia adalah orang Islam, sama ada pernyataan itu secara lisan atau bertulis;

"Pegawai Masjid" ertinya Naqib Masjid, Imam, Imam Ratib, Bilal dan Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid;

"Peguam Syarie" ertinya seseorang yang dilantik sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 59;

"Pembantu Bilal" ertinya Pembantu Bilal sesuatu masjid yang dilantik di bawah seksyen 76(4);

"Pendakwa Syarie" ertinya seorang pegawai yang dilantik di bawah seksyen 58(3);

"Pengerusi" ertinya Pengerusi Majlis;

"Setiausaha" ertinya Setiausaha Majlis yang tersebut dalam seksyen 14;

"wakaf 'am" ertinya wakaf yang berkekalan atas modal dan pendapatan daripada harta bagi maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan sedemikian;

"wakaf khas" ertinya wakaf yang berkekalan atau bagi suatu tempoh terhad atas modal harta bagi maksud-maksud agama atau khairat yang diiktiraf oleh Hukum Syarak, dan harta yang diwakafkan sedemikian, yang berpendapatan daripadanya diberikan kepada orang-orang atau bagi maksud-maksud yang ditetapkan dalam wakaf itu;

"Wilayah-Wilayah Persekutuan" ertinya Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

[Gan. P.U.(A) 250/2002:s.4]

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam Akta ini dan tidak ditakrifkan di dalam Akta ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 [Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing setakat yang erti-erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

Seksyen 3. Kecualian prerogatif.

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata dalam Akta ini, tiada apa-apa jua yang terkandung dalamnya boleh mengurangkan atau menyentuh hak-hak dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, sebagaimana yang ditetapkan dan dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN

Seksyen 4. Penubuhan Majlis.

(1) Maka hendaklah ada suatu badan yang dikenali sebagai "Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan", untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.

(2) Apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, "Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan" yang wujud menurut kuasa seksyen 5 Enakmen hendaklah disifatkan sebagai Majlis yang disebut di dalam subseksyen (1).

Seksyen 5. Identiti di sisi undang-undang dan kuasa-kuasa Majlis.

(1) Majlis hendaklah menjadi suatu pertubuhan perbadanan yang kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan, dan meterai tersebut boleh dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baharu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis, dan, sehingga suatu meterai diadakan di bawah seksyen ini, suatu cap yang mengandungi tulisan "Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan" bolehlah digunakan sebagai meterai perbadanan.

(2) Majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

(3) Majlis boleh mengikat kontrak dan boleh memperolehi, membeli, mengambil, memegang, dan menikmati segala perihal harta alih dan tak alih, dan tertakluk kepada mana-mana undang-undang bertulis yang menyentuhnya, boleh memindahhak, menyerahhak, menyerahkan dan memulangkan, menggadai, menggadai-janji, mendemis, menyerahhak semula, memindahmilik atau selainnya melupuskan, atau memperlakukan, mana-mana harta alih atau tak alih yang terletakhak pada Majlis atas apa-apa terma yang difikirkan patut oleh Majlis dan mengikut Hukum Syarak.

(4) Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.

(5) Majlis hendaklah mempunyai apa-apa kuasa selanjutnya dan menjalankan apa-apa kewajipan yang diberikan kepadanya oleh Akta ini atau mana-mana Akta lain.

Seksyen 6. Jawatankuasa-jawatankuasa.

Majlis boleh melantik jawatankuasa-jawatankuasa untuk membantunya dalam melaksanakan kewajipan-kewajipannya atau menjalankan kuasa-kuasanya.

Seksyen 7. Kewajipan Majlis bagi kemajuan sosio-ekonomi orang-orang Islam.

(1) Maka hendaklah menjadi kewajipan Majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan selaras dengan Hukum Syarak.

(2) Majlis hendaklah mempunyai kuasa, bagi maksud menunaikan kewajipannya di bawah subseksyen (1)--

(a) untuk menjalankan segala kegiatan, yang tidak akan melibatkan apa-apa unsur yang tidak dibenarkan oleh agama Islam, khususnya memajukan perusahaan komersil dan perindustrian, yang perjalanannya ternyata kepada Majlis adalah perlu, berfaedah atau menyenangkan bagi atau berkaitan dengan penunaian kewajipannya yang tersebut, termasuklah membuat, memasang, memproses, membungkus, menggred dan memasarkan keluaran-keluaran;

(b) untuk menggalakkan penjalanan apa-apa kegiatan sedemikian oleh badan-badan atau orang-orang lain, dan bagi maksud itu untuk menubuhkan atau memperkembangkan, atau menggalakkan penubuhan atau perkembangan, badan-badan lain untuk menjalankan apa-apa kegiatan sedemikian sama ada di bawah kawalan atau kawalan separa oleh Majlis atau secara bebas, dan untuk memberikan bantuan kepada badan-badan atau orang-orang lain yang ternyata kepada Majlis mempunyai kemudahan-kemudahan untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang sedemikian, termasuklah pemberian bantuan kewangan dengan cara pinjaman atau selainnya;

(c) untuk menjalankan apa-apa kegiatan sedemikian bersama dengan badan-badan atau orang-orang lain, termasuklah jabatan-jabatan atau pihak-pihak berkuasa Kerajaan Persekutuan, atau sebagai ejen pengurus atau selainnya bagi pihak Kerajaan Persekutuan;

(d) untuk melabur dalam apa-apa pelaburan yang dibenarkan sebagaimana yang ditakrifkan oleh Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208], dan melupuskan pelaburan itu atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Majlis;

(e) tertakluk kepada kelulusan Menteri Kewangan, untuk menubuhkan apa-apa skim bagi pemberian pinjaman daripada Kumpulan Wang kepada individu Muslim bagi pembelajaran tinggi;

(f) untuk menubuhkan dan menyenggarakan sekolah-sekolah Islam dan institusi-institusi latihan dan penyelidikan Islam; dan

(g) untuk melakukan segala perbuatan yang difikirkan oleh Majlis dikehendaki atau suaimanfaat.

Seksyen 8. Kuasa untuk menubuhkan perbadanan-perbadanan.

(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, menubuhkan sesuatu perbadanan dengan apa-apa nama sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis untuk menjalankan dan menjaga, mengelola, dan menguruskan apa-apa projek skim, atau perusahaan yang telah dirancang atau diusahakan oleh Majlis dalam melaksanakan kewajipan atau kuasa-kuasanya di bawah seksyen 7.

(2) Majlis hendaklah, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, melalui perintah yang sama atau yang lain, membuat peruntukan-peruntukan berkenaan dengan sesuatu perbadanan yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1), yang menentukan--

(a) kewajipan-kewajipan, kuasa-kuasa dan hak-hak perbadanan itu;

(b) sistem pengurusan perbadanan itu; dan

(c) hubungan di antara perbadanan dengan Majlis dan hak Majlis untuk mengawal perbadanan itu.

(3) Peruntukan-peruntukan Jadual Kedua hendaklah terpakai bagi sesuatu perbadanan yang ditubuhkan oleh Majlis di bawah subseksyen (1).

Seksyen 8A. Kuasa untuk menubuhkan syarikat dan pengesahan syarikat yang di-tubuhkan.

(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, menubuhkan syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125] untuk menjalankan mana-mana aktiviti yang telah dirancang atau diusahakan oleh Majlis dalam melaksanakan kewajipan atau kuasa-kuasanya di bawah seksyen 7.

(2) Tiap-tiap syarikat yang ditubuhkan atau berupa sebagai ditubuhkan oleh Majlis di bawah Akta Syarikat 1965 sebelum mula berkuatkuasanya seksyen ini hendak disifatkan telah ditubuhkan dengan sah dan hendaklah terus wujud seolah-olah ia telah ditubuhkan oleh Majlis di bawah subseksyen (1).

(3) Apa-apa pembiayaan atau bantuan kewangan yang diberikan oleh Majlis di bawah subseksyen (2) seksyen 7 kepada sesuatu syarikat yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah disifatkan telah diberikan dengan sah. [Tamb. Akta A931: s.2]

Seksyen 9. Kuasa-kuasa meminjam.

(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Menteri Kewangan dan atas terma-terma dan syarat-syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Kewangan, meminjam apa-apa jumlah wang yang mungkin dikehendakinya untuk menunaikan mana-mana fungsinya di bawah Akta ini.

(2) Jumlah-jumlah wang yang dipinjam menurut kuasa seksyen ini hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan Wang.

Seksyen 10. Keanggotaan Majlis.

(1) Majlis hendaklah terdiri daripada anggota-anggota berikut:

(a) seorang Pengerusi;

(b) seorang Timbalan Pengerusi;

(c) Ketua Setiausaha Negara atau wakilnya;

(d) Peguam Negara atau wakilnya;

(e) Ketua Polis Negara atau wakilnya;

(f) Mufti;

(g) Dato Bandar Kuala Lumpur; dan

(h) lima belas orang anggota lain, sekurang-kurangnya lima daripada mereka hendaklah yang arif dalam pengajian Islam.

(2) Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan anggota-anggota di bawah perenggan (h) subseksyen (1) hendaklah orang-orang Islam dan hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri bagi apa-apa tempoh, tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

(3) Seseorang anggota yang tempoh jawatannya telah habis tempoh bolehlah dilantik semula.

(4) Jika pada bila-bila masa orang yang memegang jawatan yang tersebut dalam perenggan (c), (d), (e) atau (g) bukan orang Islam, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri hendaklah melantik seorang pegawai lain yang adalah seorang Islam dan yang kanan selepasnya dari Jabatan atau Kementerian yang sama untuk menjadi anggota bagi menggantikan orang tersebut.

(5) Orang-orang yang, sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini adalah Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan anggota-anggota yang dilantik bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan hendaklah, tertakluk kepada Akta ini, masing-masingnya terus menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi, dan anggota-anggota Majlis sehingga habis tempoh perlantikan mereka sekarang.

Seksyen 11. Penamatan perlantikan.

Perlantikan seseorang anggota Majlis yang dilantik hendaklah tamat--

(a) apabila dia mati; atau

(b) jika dia, dengan surat yang ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Pengerusi, meletakkan jawatannya; atau

(c) jika dia tidak ada di Malaysia, tanpa kebenaran bertulis daripada Pengerusi, selama tempoh melebihi enam bulan.

Seksyen 12. Pembatalan perlantikan.

Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, membatalkan perlantikan mana-mana anggota Majlis yang dilantik--

(a) jika kelakuannya, sama ada yang berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai anggota atau selainnya, adalah kelakuan yang memburukkan nama Majlis; atau

(b) jika dia telah menjadi tak berupaya menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna sebagai anggota; atau

(c) jika, tanpa apa-apa alasan yang mencukupi pada pendapat Pengerusi, dia telah tidak menghadiri tiga mesyuarat Majlis secara berturut-turut.

Seksyen 13. Perlantikan hendaklah diwartakan.

Semua perlantikan dan pembatalan perlantikan di bawah seksyen 10, 11 dan 12 hendaklah disiarkan dalam Warta.

Seksyen 14. Setiausaha.

(1) Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah menjadi Setiausaha Majlis.

(2) Setiausaha hendaklah menjadi ketua pegawai eksekutif dan pentadbir Majlis dan hendaklah bertanggungjawab bagi menjalankan dasar-dasar dan ketetapan-ketetapan Majlis.

(3) Setiausaha adalah berhak menghadiri semua mesyuarat Majlis dan mengambil bahagian dalam pertimbangtelitiannya, tetapi tidak berhak mengundi.

Seksyen 15. Kehadiran bukan anggota dalam mesyuarat.

(1) Pengerusi boleh menjemput mana-mana orang yang bukan anggota Majlis untuk hadir dalam mana-mana mesyuarat Majlis, jika urusan di hadapan mesyuarat itu menyebabkan kehadiran orang itu dikehendaki.

(2) Seseorang yang dijemput di bawah subseksyen (1) adalah berhak mengambil bahagian dalam pertimbangtelitian Majlis, tetapi tidak berhak mengundi.

Seksyen 16. Mempengerusikan mesyuarat.

(1) Pengerusi, atau dalam masa ketakhadirannya Timbalan Pengerusi, hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Majlis.

(2) Jika Pengerusi dan Timbalan Pengerusi tidak hadir dalam sesuatu mesyuarat, anggota-anggota yang hadir hendaklah memilih seorang daripada kalangan mereka untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

Seksyen 17. Kuorum.

Tiada urusan, kecuali mengenai penangguhan, boleh dilakukan dalam sesuatu mesyuarat, dan tiada ketetapan atau tindakan Majlis yang dibuat atau dilaksanakan dalam sesuatu mesyuarat, adalah sah, melainkan jika sekurang-kurangnya satu pertiga daripada anggota, termasuk orang yang mempengerusikan mesyuarat, hadir dalam mesyuarat itu.

Seksyen 18. Penjalanan urusan.

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya oleh Akta ini, semua urusan Majlis hendaklah dijalankan di dalam mesyuarat Majlis yang diadakan secara tetap dan hendaklah dibereskan melalui ketetapan majoriti anggota yang hadir dan berhak mengundi.

(2) Ketetapan bertulis yang ditandatangani oleh semua anggota Majlis hendaklah, melainkan jika dalam mana-mana hal atau golongan hal khas diarahkan selainnya oleh Yang di-Pertuan Agong, mempunyai kesan yang sama seperti ketetapan yang diluluskan sewajarnya di bawah subseksyen (1).

Seksyen 19. Memanggil mesyuarat.

(1) Semua mesyuarat Majlis hendaklah dipanggil oleh Setiausaha.

(2) Pengerusi boleh pada bila-bila masa mengarahkan Setiausaha memanggil mesyuarat.

(3) Mana-mana empat orang anggota Majlis boleh pada bila-bila masa secara bertulis menghendaki Setiausaha memanggil mesyuarat Majlis dengan syarat mereka memberitahu Setiausaha maksud yang baginya mereka menghendaki mesyuarat itu dipanggil.

(4) Setiausaha hendaklah memanggil mesyuarat dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan arahan atau kehendak di bawah subseksyen (2) atau (3), atau, jika Pengerusi mengarahkan sedemikian, sebaik sahaja dia menerima atau kehendak itu.

(5) Sekurang-kurangnya tujuh hari notis bertulis hendaklah diberikan mengenai mana-mana mesyuarat, tetapi Pengerusi boleh, jika dia berpendapat bahawa ada keperluan mendesak untuk memanggil suatu mesyuarat dengan notis yang lebih singkat, mengarahkan supaya kehendak notis tujuh hari itu diketepikan.

(6) Notis mesyuarat boleh dihantar melalui pos kepada anggota dengan ditujukan ke alamat tempat tinggalnya yang terakhir diketahui dan hendaklah disifatkan telah disampaikan mengikut perjalanan biasa pos.

(7) Tiada notis mesyuarat diperlukan dalam hal anggota yang sedang berada di luar Malaysia.

Seksyen 20. Kuasa-kuasa Pengerusi.

Pengerusi hendaklah menjalankan kawalan ke atas segala pertimbangtelitian dan prosiding Majlis dan hendaklah bertanggungjawab bagi penjalanannya yang sepatutnya dan teratur.

Seksyen 21. Tugas-tugas dan kuasa-kuasa Setiausaha.

Tertakluk kepada apa-apa arahan yang diberikan oleh Pengerusi kepadanya, Setiausaha hendaklah bertanggungjawab ke atas semua surat-menyurat dan dokumen Majlis, dan hendaklah dalam segala segi lain menjalankan tugas-tugas yang dikenakan ke atasnya oleh Akta ini atau yang diberikan kepadanya oleh Pengerusi.

Seksyen 22. Minit.

(1) Setiausaha hendaklah menyimpan minit segala mesyuarat Majlis, dan pada tiap-tiap mesyuarat minit mesyuarat yang lalu hendaklah dibaca dan disahkan, tertakluk kepada apa-apa pindaan yang diperlukan.

(2) Minit itu hendaklah dicatatkan dalam buku minit Majlis dan hendaklah mengandungi rekod kata demi kata penuh bagi tiap-tiap ketetapan Majlis.

(3) Dengan seberapa segera yang mungkin selepas tiap-tiap mesyuarat Majlis, satu salinan draf minit itu hendaklah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika semasa draf minit itu disahkan, minit itu dipinda, Yang di-Pertuan Agong hendaklah dengan serta-merta dimaklumkan tentang pindaan yang dibuat:

Dengan syarat bahawa tiada keputusan yang dibuat dalam mana-mana minit Majlis boleh diambil tindakan sehingga Yang di-Pertuan Agong telah menandakan perkenannya secara bertulis.

(4) Mesyuarat-mesyuarat Majlis hendaklah diadakan dengan tetap sehingga tidak lebih daripada tiga bulan kalendar boleh berlalu antara satu mesyuarat dengan yang berikutnya.

Seksyen 23. Aturan urusan dan pengundian.

(1) Pengerusi hendaklah menentukan aturan urusan pada mesyuarat-mesyuarat.

(2) Pengerusi boleh memutuskan aturan anggota-anggota boleh berucap dalam mesyuarat dan boleh pada bila-bila masa menghendaki mana-mana anggota berhenti daripada berucap dalam mesyuarat.

(3) Jika atas apa-apa ketetapan terdapat persamaan undi Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus.

Seksyen 24. Salinan-salinan diperakui bagi ketetapan-ketetapan.

Satu salinan apa-apa ketetapan Majlis yang diperakui oleh Setiausaha sebagai salinan benar ketetapan itu adalah keterangan yang mencukupi mengenainya, dan semua mahkamah hendaklah memberikan pengiktirafan kehakiman kepada tandatangan Setiausaha.

Seksyen 25. Cuti.

Pengerusi, jika dia menjangka akan tidak berada di selama lebih daripada tiga puluh hari, hendaklah memohon cuti daripada Yang di-Pertuan Agong yang boleh memberikan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.

Seksyen 26. Bertindak dalam hal tergempar.

(1) Dalam apa-apa hal tergempar Pengerusi boleh, selepas berunding dengan Menteri, melakukan atau mengarahkan dilakukan bagi pihak Majlis apa-apa tindakan atau perkara yang boleh dilakukan dengan sah melalui ketetapan Majlis.

(2) Jika apa-apa tindakan atau perkara dilakukan menurut subseksyen (1), suatu mesyuarat Majlis hendaklah diadakan dalam masa seminggu selepas itu bagi maksud meratifikasikan dan mengesahkan tindakan atau perkara yang dilakukan itu, dan jika Majlis enggan meratifikasikan dan mengesahkan tindakan atau perkara yang dilakukan itu, Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan apa-apa arahan berkenaan dengannya sebagaimana yang difikirkannya patut.

Seksyen 27. Pewakilan kewajipan-kewajipan dan kuasa-kuasa.

(1) Majlis boleh, melalui ketetapan, dan tertakluk kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis, mewakilkan kepada Pengerusi atau Setiausaha atau kepada mana-mana jawatankuasa Majlis pelaksanaan mana-mana kewajipannya atau penjalanan mana-mana kuasanya.

(2) Pelaksanaan kewajipan-kewajipan dan penjalanan kuasa-kuasa menurut perwakilan di bawah subseksyen (1) hendaklah tertakluk kepada kawalan dan arahan Majlis.

(3) Pengerusi, Setiausaha, atau jawatankuasa itu hendaklah memberitahu Majlis tentang semua tindakan dan perkara yang dilakukan olehnya atau oleh jawatankuasa itu menurut perwakilan di bawah subseksysen (1).

Seksyen 28. Kerahsiaan.

Prosiding Majlis hendaklah dirahsiakan dan tiada seorang pun anggota atau pengkhidmatnya boleh mendedahkan atau membukakan kepada mana-mana orang selain daripada Yang di-Pertuan Agong atau Menteri, dan mana-mana anggota Majlis, apa-apa perkara yang telah berbangkit dalam mana-mana mesyuarat melainkan jika dia dibenarkan dengan nyata oleh Majlis.

Seksyen 29. Pengkhidmat awam.

Anggota-anggota, pegawai-pegawai dan pengkhimat-pengkhidmat Majlis hendaklah disifatkan sebagai pengkhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan.

Seksyen 30. Majlis boleh menentukan prosedurnya sendiri.

Majlis boleh, tertakluk kepada Akta ini, boleh menentukan semua persoalan berhubungan dengan prosedur dan amalannya sendiri.

Seksyen 31. Kuasa Majlis.

Majlis hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang diPertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini.

BAHAGIAN III - PERLANTIKAN MUFTI, KUASA DALAM HAL EHWAL AGAMA DAN JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK

Seksyen 32. Perlantikan Mufti dan Timbalan Mufti.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis melantik orang-orang yang layak dan sesuai menjadi Mufti dan Timbalan Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

(2) Apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, mana-mana orang yang, sebelum sahaja permulaan kuatkuasa itu, menjadi Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dilantik di bawah Enakmen hendaklah disifatkan sebagai telah dilantik sewajarnya di bawah seksyen ini sebagai Mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hendaklah memegang jawatan demikian.

Seksyen 33. Kuasa Mufti.

Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini.

Seksyen 34. Fatwa.

(1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta suatu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.

(2) Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).

(3) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan, atau pendapat peribadi.

(4) Sesuatu fatwa hendaklah diiktiraf oleh semua Mahkamah dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai autoritatif mengenai semua perkara yang dinyatakan di dalamnya.

Seksyen 35. Bentuk fatwa.

(1) Sesuatu fatwa hendaklah menyebut bahawa ia dibuat menurut seksyen 34.

(2) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan Rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan Jawi boleh juga disiarkan.

Seksyen 36. Pindaan, ubahsuaian atau pembatalan fatwa.

(1) Mufti boleh meminda, mengubahsuaikan atau membatalkan mana-mana fatwa yang telah dikeluarkan sebelum itu olehnya atau oleh mana-mana Mufti terdahulu daripadanya.

(2) Sesuatu pindaan, ubahsuaian atau pembatalan sesuatu fatwa hendaklah disifatkan suatu fatwa dan peruntukan-peruntukan subseksyen (3) dan (4) seksyen 34 dan subseksyen (2) seksyen 35 hendaklah terpakai baginya.

(3) Sesuatu pindaan, ubahsuaian atau pembatalan sesuatu fatwa hendaklah menyebut bahawa ia dibuat menurut subseksyen (1).

Seksyen 37. Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

(1) Maka hendaklah ada suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

(2) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada--

(a) Mufti, sebagai Pengerusi;

(b) Timbalan Mufti;

(c) dua orang anggota Majlis yang dinamakan oleh Majlis;

(d) tidak kurang daripada dua orang, yang layak dan sesuai, yang dilantik oleh Majlis; dan

(e) seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dilantik oleh Majlis, yang hendaklah menjadi Setiausaha.

(3) Orang-orang yang, sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini, telah dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Undang-Undang Ugama yang ditubuhkan di bawah seksyen 40 Enakmen hendaklah, tertakluk kepada Akta ini, disifatkan telah dinamakan atau dilantik menjadi anggota Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak dan hendaklah terus menjadi anggota sehingga habis tempoh perlantikan mereka sekarang.

(4) Daripada orang-orang yang disebut dalam subseksyen (3), dua orang yang adalah anggota Majlis hendaklah disifatkan telah dinamakan di bawah perenggan (c) subseksyen (2) dan yang lainnya hendaklah disifatkan telah dilantik di bawah perenggan (d) subseksyen itu.

(5) Bilamana Mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 34 dia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(6) Sebelum Mufti membuat fatwa, dia boleh menyebabkan kajian-kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan.

Seksyen 38. Permintaan pendapat daripada Mufti.

Walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis yang Mufti tidaklah boleh dipanggil untuk memberikan pendapat atau keterangan berhubungan dengan Hukum Syarak di mana-mana mahkamah sivil atau Mahkamah Syariah, tetapi jika dalam mana-mana mahkamah selain daripada Mahkamah Syariah, apa-apa persoalan Hukum Syarak perlu diputuskan, mahkamah itu boleh meminta pendapat Mufti tentang persoalan itu, dan Mufti boleh memperakukan pendapatnya kepada mahkamah yang meminta itu.

Seksyen 39. Nas-nas yang hendaklah diikuti.

(1) Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah seksyen 34, atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah seksyen 38, Mufti hendaklah pada lazimnya mengikut pandangan-pandangan diterima (qaul muktamad) Mazhab Syafie.

(2) Jika Mufti berpendapat bahawa dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie akan membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

(3) Jika Mufti berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat Mazhab itu boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam, Mufti bolehlah menyelesaikan persoalan itu mengikut hematnya sendiri tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu.

BAHAGIAN IV - MAHKAMAH SYARIAH

Seksyen 40. Penubuhan Mahkamah Syariah

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan di tempat-tempat yang difikirkannya patut.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan suatu Mahkamah Tinggi Syariah bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta menubuhkan suatu Mahkamah Rayuan Syariah bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Seksyen 41. Perlantikan Ketua Hakim Syarie.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis, melantik seorang Ketua Hakim Syarie.

(2) Seseorang itu layak dilantik di bawah subseksyen (1) jika--

(a) dia seorang warganegara; dan

(b) dia--(i) selama tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum perlantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Kathi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada suatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula; atau

(ii) seorang yang arif tentang Hukum Syarak.

(3) Orang yang, sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini, memegang jawatan Kathi Besar di bawah subseksyen (1) seksyen 43 Enakmen dan melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman hendaklah, apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, terus memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie seoleh-olah dia telah dilantik di bawah subseksyen (1).

(4) Perlantikan di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta.

Seksyen 42. Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis, melantik, selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, tidak lebih daripada tujuh orang Islam untuk menubuhkan suatu panel tetap hakim dan Ketua Hakim Syarie hendaklah memilih dua orang daripada kalangan mereka untuk membentuk kuorum hakim dalam Mahkamah Rayuan Syariah berkenaan dengan tiap-tiap pendengaran.

(2) Nama ketujuh-tujuh anggota itu hendaklah disiarkan dalam Warta.

Seksyen 43. Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Menteri, selepas berunding dengan Majlis, melantik Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

(2) Seseorang itu layak dilantik di bawah subseksyen (1) jika--

(i) selama tidak kurang daripada sepuluh tahun sebelum perlantikannya, telah memegang jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau Kathi atau Pendaftar atau Pendakwa Syarie sesuatu Negeri atau pada suatu masa memegang mana-mana satu daripada jawatan itu dan pada masa yang lain memegang mana-mana yang lain pula; atau

(ii) seorang yang arif tentang Hukum Syarak.

(3) Orang-orang yang, sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini, memegang jawatan Kathi di bawah subseksyen (1) seksyen 43 Enakmen dan melaksanakan fungsi-fungsi kehakiman hendaklah, apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, terus memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah seolah-olah mereka telah dilantik di bawah subseksyen (1).

(4) Semua perlantikan di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta.

Seksyen 44. Perlantikan Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh, atas syor Ketua Hakim Syarie, melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

(2) Semua perlantikan di bawah subseksyen (1) hendaklah disiarkan dalam Warta.

Seksyen 45. Pendaftar-Pendaftar.

Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Ketua Hakim Syarie, melantik, daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan, seorang Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

Seksyen 46. Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.

(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah--

(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen atau Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang sedang berkuatkuasa, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan baginya;

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan--(i) pertunangan, perkahwinan, ruju', perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan di antara suami isteri;(ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;

(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;

(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

(iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut seseorang si mati Islam;

(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

(vii) wakaf atau nazr;

(viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;

(ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya orang-orang itu masing-masing berhak; atau

(x) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Seksyen 47. Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah.

(1) Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah--

(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang Islam di bawah Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukkan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi dua ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan baginya;

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberikuasa untuk mendengar dan memutuskannya, yang amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam Warta memperluaskan bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.

Seksyen 48. Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah--

(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pihak pendakwa atau oleh orang yang telah disabitkan, dan rayuan itu boleh sama ada terhadap pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana daripadanya;

(b) dalam bidang kuasa malnya--
(i) oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;

(ii) dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu;

(iii) dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu;

tetapi tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan

(c) dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu.

(2) Dalam mana-mana rayuan, Mahkamah Tinggi Syariah boleh--

(a) dalam perkara jenayah, menolak rayuan, mensabitkan dan menghukum pihak yang merayu, memerintahkan Mahkamah perbicaraan memanggil pembelaan atau membuat siasatan lanjut, menambah atau meminda bentuk hukuman, memerintahkan perbicaraan semula, atau meminda, atau mengakaskan apa-apa perintah Mahkamah perbicaraan;

(b) dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula.

Seksyen 49. Permohonan untuk kebenaran merayu.

(1) Suatu rayuan atau permohonan bagi kebenaran untuk merayu di bawah perenggan (c) subseksyen (1) seksyen 48 hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah mengikut apa-apa cara yang ditetapkan, tetapi dalam apa-apa keadaan hendaklah dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penghakiman, perintah atau keputusan yang berkenaan dengannya permohonan itu dibuat atau, dalam keadaan apabila pemohon tidak mengetahuinya pada tarikh itu dan tidak dengan menjalankan usaha yang munasabah boleh mengetahuinya, dalam tempoh empat belas hari dari tarikh penghakiman, perintah, atau keputusan itu sampai kepada pengetahuannya.

(2) Mahkamah Tinggi Syariah, apabila mendengar mana-mana permohonan bagi kebenaran untuk merayu, boleh atas alasan khas melanjutkan masa untuk merayu, walaupun masanya telah habis tempoh.

Seksyen 50. Perakuan-perakuan pewarisan.

Jika dalam perjalanan mana-mana prosiding yang berhubungan dengan pentadbiran atau pembahagian harta pusaka seseorang si mati Islam, mana-mana mahkamah atau pihak berkuasa, selain daripada Mahkamah Tinggi Syariah atau suatu Mahkamah Rendah Syariah, adalah mempunyai kewajipan untuk menentukan orang-orang yang berhak kepada bahagian dalam harta pusaka itu, atau bahagian-bahagian yang kepadanya orang-orang itu masing-masingnya berhak, Mahkamah Syariah bolehlah, atas permohonan mana-mana orang yang menuntut bahawa dia menjadi benefisiari, atau wakilnya dan setelah dibayar olehnya fee yang ditetapkan, memperakukan fakta-fakta yang didapati olehnya dan pendapatnya mengenai orang-orang yang berhak kepada bahagian dalam harta pusaka itu dan mengenai bahagian-bahagian yang padanya mereka masing-masingnya berhak.

Seksyen 51. Bidang kuasa pengawasan dan peyemakan Mahkamah Tinggi Syariah.

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

(2) Bilamana Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah mengenai perkara atau prosiding yang berkenaan itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

Seksyen 52. Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

(2) Apabila suatu rayuan daripada suatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran bagi pemutusan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

(3) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan sebagaimana yang difikirkannya adil bagi pemberesan rayuan itu.

Seksyen 53. Bidang kuasa pengawasan dan penyemakan Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi Syariah dan boleh, jika nampaknya dikehendaki demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam Mahkamah Tinggi Syariah, memanggil dan memeriksa mana-mana rekod mengenainya dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

(2) Bilamana Mahkamah Rayuan Syariah memanggil rekod di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Tinggi Syariah mengenai perkara atau prosiding yang berkenaan itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

Seksyen 54. Keanggotaan Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Sesuatu rayuan dalam Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah didengar dan dibereskan oleh seorang pengerusi dan mana-mana dua orang Hakim Mahkamah Rayuan Syariah sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Hakim Syarie.

(2) Walau apa pun seksyen 42 Akta ini, Ketua Hakim Syarie boleh melantik mana-mana Hakim Mahkamah Tinggi Syariah untuk menjadi seorang anggota Mahkamah Rayuan Syariah bagi mana-mana prosiding yang tertentu jika Ketua Hakim Syarie berpendapat wajar berbuat demikian.

(3) Ketua Hakim Syarie hendaklah menjadi pengerusi tiap-tiap prosiding Mahkamah Rayuan Syariah, dan sekiranya dia tidak dapat berbuat demikian, Ketua Hakim Syarie hendaklah melantik Hakim yang paling kanan di antara Hakim Mahkamah Rayuan Syariah untuk menjadi pengerusi.

Seksyen 55. Keputusan dengan majoriti.

Rayuan hendaklah diputuskan mengikut pendapat majoriti anggota Mahkamah Rayuan Syariah.

Seksyen 56. Penerusan prosiding dalam Mahkamah Rayuan Syariah walaupun Hakim tiada.

(1) Jika, dalam perjalanan apa-apa prosiding dalam sesuatu rayuan atau pada bila-bila masa sebelum diumumkan penghakiman, mana-mana Hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang mendengar prosiding itu tidak dapat, kerana sakit atau apa-apa sebab lain, untuk hadir dan menyelesaikan prosiding itu atau selainnya menjalankan fungsinya sebagai Hakim Mahkamah itu, maka, jika kedua-dua pihak bersetuju, pendengaran itu hendaklah diteruskan dan penghakiman atau penghakiman yang ditangguhkan, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah diberikan oleh dua orang Hakim Mahkamah yang ada itu, dan bagi maksud-maksud rayuan itu, Mahkamah hendaklah disifatkan tealh dianggotai dengan sempurnanya.

(2) Dalam mana-mana kes seperti yang tersebut dalam subseksyen (1), jika tiada keputusan sebulat suara, rayuan itu hendaklah didengar semula.

(3) Jika di bawah subseksyen (1) kedua-dua pihak tidak memberikan persetujuan mereka, atau lebih daripada seorang Hakim tidak dapat, kerana sakit atau apa-apa sebab lain, untuk hadir dan menyelesaikan prosiding itu atau selainnya menjalankan fungsi mereka sebagai Hakim-Hakim Mahkamah itu, rayuan itu hendaklah didengar semula.

Seksyen 57. Kaedah-kaedah rayuan.

Ketua Hakim Syarie boleh membuat kaedah-kaedah tentang prosedur bagi rayuan-rayuan dan permohonan bagi kebenaran merayu.

BAHAGIAN V - PENDAKWAAN DAN PERWAKILAN

Seksyen 58. Perlantikan Pendakwa-Pendakwa Syarie dan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama.

(1) Yang di-Pertuan Agong boleh atas nasihat Menteri, melantik seorang, yang berkelayakan menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, menjadi Ketua Pendakwa Syarie.

(2) Ketua Pendakwa Syarie hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya bagi memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan di hadapan Mahkamah Syariah.

[Pin. Akta A931: s.3]

(3) Ketua Pendakwa Syarie bolehlah melantik orang-orang yang layak dan sesuai daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan menjadi Pendakwa-Pendakwa Syarie yang hendaklah bertindak di bawah kawalan am dan arahan Ketua Pendakwa Syarie dan boleh menjalankan semua atau mana-mana hak dan kuasa yang terletakhak pada atau yang boleh dijalankan oleh Ketua Pendakwa Syarie sendiri.

(4) Majlis boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan seorang Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pegawai-Pegawai Penguatkuasa Agama untuk menjalankan penyiasatan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam.

Seksyen 59. Peguam Syarie.

(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), Majlis boleh menerima mana-mana orang yang mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang Hukum Syarak menjadi Peguam Syarie bagi mewakili pihak-pihak dalam apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Syariah.

(2) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat kaedah-kaedah--

(a) untuk mengadakan peruntukan bagi prosedur, kelayakan-kelayakan dan fee-fee bagi penerimaan Peguam Syarie; dan

(b) untuk mengawalselia, mengawal dan mengawasi kelakuan Peguam Syarie.

(3) Walau apa pun subseksyen (1), Majlis boleh mengecualikan mana-mana anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Persekutuan atau mana-mana orang yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta Bantuan Guaman 1971[Akta 26] daripada peruntukan seksyen ini. 

(4) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain, tiada seorang pun selain daripada Peguam Syarie atau orang yang dikecualikan di bawah subseksyen (3) berhak hadir di dalam mana-mana Mahkamah Syariah bagi pihak mana-mana pihak kepada apa-apa prosiding di hadapannya. [Gan. Akta A931: s.4]

BAHAGIAN VI - KEWANGAN 

Amanah Khairat

Seksyen 60. Penubuhan Baitulmal.

(1) Suatu Kumpulan Wang yang dikenali sebagai Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan Wang itu hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Kumpulan Wang.

(2) Semua wang dan harta dalam Kumpulan Wang hendaklah terletakhak pada Majlis yang hendaklah mentadbirkan semua wang dan harta itu mengikut kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini:

Dengan syarat bahawa mana-mana pelaburan aset dan kumpulan-kumpulan wang yang terletakhak pada Majlis boleh dijual, dihasilkan atau dilupuskan, dan hasil-hasil daripadanya boleh dilaburkan dari semasa ke semasa dalam mana-mana pelaburan yang dibenarkan oleh mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa bagi pelaburan wang amanah.

(3) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta ini, Majlis, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, boleh membuat kaedah-kaedah bagi pemungutan, pentadbiran dan pembahagian semua harta Kumpulan Wang.

Seksyen 61. Wakaf dan nazr.

Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr 'am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak, setakat mana-mana harta yang tersentuh olehnya dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan dan, jika pemberi harta itu atau orang lain yang mewujudkan amanah, wakaf atau nazr 'am itu telah berdomisil di Wilayah-Wilayah Persekutuan, setakat semua harta yang tersentuh olehnya di mana-mana jua harta itu terletak.

Seksyen 62. Perletakhakan.

(1) Semua harta yang tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen 61 dan terletak di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, hendaklah, tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahhakan atau pemindahmilikan jua pun, dan, dalam hal harta tak alih, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang relevan yang berhubungan dengan tanah, terletakhak pada Majlis, bagi maksud-maksud amanah, wakaf atau nazr 'am yang menyentuh harta itu.

(2) Majlis hendaklah mengambil segala langkah perlu untuk meletakhak pada Majlis bagi maksud-maksud yang serupa mana-mana harta sedemikian yang terletak di luar Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Seksyen 63. Sekatan-sekatan ke atas pewujudan amanah khairat.

(1) Sama ada atau tidak dibuat secara wasiat atau alang semasa marad-al-maut, tiada wakaf atau nazr yang dibuat selepas mula berkuatkuasanya Akta ini dan melibatkan lebih daripada satu pertiga daripada harta orang yang membuatnya boleh menjadi sah berkenaan dengan bahagian yang melebihi satu pertiga itu.

(2) Tiap-tiap wakaf khas atau nazr yang dibuat selepas mula berkuatkuasanya Akta ini adalah batal dan tak sah melainkan jika--

(a) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, dengan nyata memperkenankan dan mengesahkannya; atau

(b) ia telah dibuat semasa pembuatnya sakit tenat dan kemudian meninggal dunia akibat sakit itu dan telah dibuat secara bertulis melalui suratcara yang disempurnakan olehnya dan disaksikan oleh dua orang Islam dewasa yang tinggal di kariah masjid yang sama dengan pembuat itu.

(3) Seksyen ini tidaklah berkuatkuasa untuk menjadikan sah mana-mana wasiat, alang semasa marad-al-maut, wakaf atau nazr yang tak sah di bawah peruntukan-peruntukan Hukum Syarak.

Seksyen 64. Pendapatan daripada wakaf dan nazr.

(1) Pendapatan daripada sesuatu wakaf khas, jika diterima oleh Majlis, hendaklah digunakan olehnya mengikut peruntukan-peruntukan yang sah bagi wakaf khas itu.

(2) Pendapatan daripada tiap-tiap wakaf lain dan tiap-tiap nazr 'am hendaklah dibayar kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang.

Seksyen 65. Modal wakaf dan nazr 'am.

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dan subseksyen (2) dan (3), harta dan aset modal yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazr 'am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang, tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazr 'am itu dan dipegang sebagai wang yang berasingan.

(2) Jika, oleh sebab lampau masa atau perubahan hal keadaan, maka tidak mungkin lagi dapat dijalankan secara berfaedah peruntukan-peruntukan tepat bagi mana-mana wakaf atau nazr 'am, Majlis hendaklah menyediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya dengan cara yang sehampir mungkin sama dengan yang dikehendaki oleh terma-terma wakaf atau nazr 'am itu, dan hendaklah menggunakannya dengan sewajarnya:

(3) Jika terma-terma mana-mana wakaf atau nazr 'am tidak menyatakan cara penggunaan harta dan aset modal yang tersentuh olehnya, atau ada ketentuan tentang cara bagaimana ia hendak digunakan, Majlis boleh mengarahkan supaya cara penggunaan harta dan aset modal itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang.

(4) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan, atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazr 'am, berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.

Seksyen 66. Pengertian suratcara.

Jika, pada pendapat Majlis makna atau natijah mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan atau menyentuh mana-mana wakaf atau nazr adalah samar-samar atau tak berketentuan, Majlis bolehlah merujukkan perkara itu kepada Mufti bagi mendapatkan pendapatnya tentang makna dan natijah itu, dan hendaklah bertindak menurut apa-apa pendapat yang diberikan sedemikian oleh Mufti.

Seksyen 67. Akaun dan laporan tahunan.

Peruntukan-peruntukan Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240] hendaklah terpakai bagi Majlis dan bagi mana-mana perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta ini.

Seksyen 68. Harta wakaf dan nazr.

Dengan seberapa segera yang mungkin selepas 31 haribulan Disember tiap-tiap tahun, Majlis hendaklah menyediakan, mengeluarkan dan menyiarkan dalam Warta satu senarai semua harta, pelaburan dan aset yang terletakhak pada Majlis tertakluk kepada mana-mana amanah, wakaf atau nazr, dan yang tidak menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang.

Seksyen 69. Anggaran-anggaran.

(1) Majlis hendaklah menyediakan dan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tidak lewat daripada 31 haribulan Oktober dalam setiap tahun, anggaran-anggaran kesemua pendapatan dan perbelanjaan Majlis, termasuk di dalamnya anggaran-anggaran segala harta yang boleh diterima dan boleh dilupuskan dalam bentuk barang-barang, berkenaan dengan tahun yang berikut. Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Menteri, boleh meluluskan anggaran-anggaran itu atau boleh mengarahkan supaya ia dipinda. Apabila telah diluluskan atau dipinda sedemikian, anggaran-anggaran tersebut hendaklah disiarkan dalam Warta.

(2) Majlis boleh pada bila-bila masa mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong anggaran-anggaran perbelanjaan tambahan berkenaan dengan tahun semasa, atau, pada bila-bila masa sebelum 31 haribulan Mac dalam mana-mana tahun, berkenaan dengan tahun yang lalu, dan anggaran itu boleh diluluskan atau dipinda, dan hendaklah disiarkan, mengikut cara yang serupa.

(3) Tiada wang boleh dibelanjakan, atau harta dilupuskan dalam bentuk barang-barang, kecuali mengikut anggaran-anggaran seperti yang disebut terdahulu itu dan atas baucer yang ditandatangani oleh Pengerusi atau mana-mana pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberikuasa oleh Pengerusi.

Seksyen 70. Perbelanjaan Majlis.

Semua kos, bayaran dan belanja mentadbir harta dan aset yang terletakhak pada Majlis, termasuk kos penyenggaraan dan pembaikan mana-mana harta tak alih, gaji dan elaun semua pengkhidmat Majlis, dan fee dan elaun yang kena dibayar kepada mana-mana pegawai atau anggota Majlis berkenaan dengan perkhidmatannya sebagai yang demikian, hendaklah dibayar daripada harta aset Kumpulan Wang.

Seksyen 71. Jurubank.

(1) Majlis hendaklah melantik mana-mana jurubank yang sesuai dan boleh mengendalikan apa-apa akaun atau akaun-akaun yang difikirkan patut.

(2) Pembayaran-pembayaran oleh Majlis amaun-amaun yang melebihi lima pulih ringgit hendaklah dibuat melalui cek. Semua wang yang diterima oleh atau untuk Majlis hendaklah dibayar ke dalam suatu akaun bank Majlis mengikut cara yang diperuntukkan dalam Prosedur Kewangan Majlis.

(3) Cek-cek yang dikeluarkan daripada mana-mana akaun bank Majlis hendaklah ditandatangani oleh Pengerusi atau oleh mana-mana anggota atau pegawai Majlis atau mana-mana pegawai lain yang diberikuasa oleh Pengerusi.

BAHAGIAN VII - MASJID

Seksyen 72. Peramanahan masjid-masjid dan tanah-tanah yang berkaitan.

Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan dalam mana-mana suratcara bertulis, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah bagi semua masjid dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan; dan tiap-tiap masjid, bersama dengan tanah yang di atasnya terdiri masjid itu dan mana-mana tanah yang berhubungan dengan dan digunakan bagi maksud-maksud masjid itu, selain daripada tanah Kerajaan atau tanah yang dirizab bagi maksud awam, hendaklah, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang relevan yang berhubungan dengan tanah, dan tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahhakan, atau pemindahmilikan, terletakhak pada Majlis bagi maksud-maksud Akta ini.

Seksyen 73. Sekatan ke atas penubuhan masjid.

(1) Tiada seorang pun boleh, tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis, mendirikan apa-apa bangunan yang hendak digunakan sebagai masjid, atau selainnya menggunakan mana-mana bangunan bagi maksud-maksud sesuatu masjid, atau menyebabkan atau membenarkan mana-mana bangunan digunakan sebagai masjid.

(2) Majlis tidak boleh memberikan kebenarannya di bawah subseksyen (1) melainkan jika tapak bangunan bagi masjid yang dicadangkan itu telah dijadikan wakaf yang berkekalan.

Seksyen 74. Penyenggaraan masjid dan kawasannya.

(1) Majlis hendaklah memastikan bahawa semua masjid dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah disenggarakan dalam keadaan pembaikan yang sepatutnya dan bahawa kawasan-kawasannya disenggarakan dalam keadaan kebersihan yang sepatutnya; dan Majlis boleh memperdapatkan dan menggunakan, atau membenarkan pemerdapatan dan penggunaan, wang khas bagi maksud pembaikan dan penyenggaraan itu, atau bolehlah membayar kos pembaikan dan penyenggaraan itu daripada Kumpulan Wang.

(2) Naqib Masjid atau Imam hendaklah dengan segera memberitahu Majlis tentang apa-apa keadaan yang memerlukan pembaikan dalam masjidnya, dan hendaklah memeriksa atau mengawasi mana-mana pembaikan itu sebagai ejen untuk dan bagi pihak Majlis.

(3) Tiada perubahan material kepada struktur masjid boleh dibuat tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis.

(4) Majlis boleh mengarahkan sesuatu jawatankuasa kariah supaya menyenggarakan masjid yang di bawah tanggungjawab di dalam keadaan pembaikan yang sepatutnya.

Seksyen 75. Sempadan kariah masjid.

Majlis boleh pada bila-bila masa melalui pemberitahuan dalam Warta menentukan, meminda, atau mengubah sempadan mana-mana kariah masjid.

Seksyen 76. Perlantikan Pegawai Masjid.

(1) Bagi tiap-tiap masjid dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik seorang Naqib Masjid, seorang Imam, seorang Imam Ratib, seorang Bilal dan seorang Pembantu Bilal.

(2) Jawatan-jawatan Naqib Masjid, Imam dan Bilal hendaklah menjadi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam am Persekutuan.

(3) Naqib Masjid, Imam dan Bilal hendaklah dilantik oleh Majlis daripada kalangan orang yang berkhidmat dalam perkhidmatan Pentadbiran Agama.

(4) Imam Ratib dan Pembantu Bilal hendaklah dilantik oleh Majlis, atas nasihat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, daripada kalangan anak kariah.

(5) Apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, tiap-tiap orang yang sebelum sahaja mula berkuatkuasanya seksyen ini, telah menjadi Imam dan Bilal suatu masjid yang dilantik di bawah Enakmen, hendaklah disifatkan sebagai telah dilantik sewajarnya di bawah seksyen ini sebagai Imam atau Bilal masjid itu masing-masingnya dan hendaklah, tertakluk kepada seksyen 78, terus memegang jawatan sebagai yang demikian.

Seksyen 77. Tauliah.

(1) Tiap-tiap orang yang dilantik oleh Majlis menjadi Pegawai Masjid, termasuk tiap-tiap orang yang disifatkan telah dilantik sedemikian di bawah subseksyen (5) seksyen 76, hendaklah diberi tauliah oleh Majlis.

(2) Tiap-tiap Pegawai Masjid hendaklah mempunyai kuasa-kuasa dan tugas-tugas yang dinyatakan dalam tauliah mereka masing-masing.

Seksyen 78. Tempoh jawatan Pegawai Masjid.

(1) Perlantikan seseorang Pegawai Masjid boleh ditamatkan melalui notis daripada Majlis.

(2) Tiada seorang pun Imam Ratib dan Pembantu Bilal boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur enam puluh tahun.

(3) Adalah menjadi kewajipan Setiausaha untuk membawa kepada pengetahuan Majlis apa-apa kelakuan keji mana-mana Pegawai Masjid, sama ada berhubungan dengan tugas-tugasnya sebagai yang demikian atau selainnya, dan untuk membuat apa-apa syor yang munasabah.

Seksyen 79. Kawalan dan arahan ke atas Pegawai Masjid.

Dalam pelaksanaan tugas-tugas mereka, Imam, Imam Ratib, Bilal dan Pembantu Bilal hendaklah tertakluk kepada kawalan dan arahan Naqib Masjid.

Seksyen 80. Penghapusan jawatan Nazir.

Apabila mula berkuatkuasanya seksyen 76, jawatan Nazir masjid tidak lagi wujud.

Seksyen 81. Jawatankuasa kariah.

(1) Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat kaedah-kaedah bagi--

(a) penubuhan sesuatu jawatankuasa kariah;

(b) menetapkan cara bagaimana anggota-anggota jawatankuasa kariah itu hendaklah dilantik; dan

(c) menetapkan fungsi-fungsi jawatankuasa kariah.

(2) Jawatankuasa kariah, bersama-sama dengan Pegawai Masjid, hendaklah--

(a) bertanggungjawab bagi pengelolaan sempurna dan keadaan baik bagi masjid dan semua tanah perkuburan Islam dan kariahnya;

(b) bertanggungjawab bagi kelakuan anak kariah dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam; dan

(c) memberikan maklumat wajar dan segera kepada Majlis tentang semua perkara yang berbangkit dalam kariah itu yang menghendaki perhatian Majlis.

Seksyen 82. Pengecualian.

(1) Majlis boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengecualikan mana-mana masjid daripada semua atau mana-mana peruntukan Bahagian ini.

(2) Peruntukan-peruntukan Bahagian ini, kecuali seksyen 72, tidaklah terpakai bagi Masjid Negara.

Seksyen 83. Kuasa meminda Jadual Ketiga.

Majlis boleh, dari masa ke semasa, meminda Jadual Ketiga melalui pemberitahuan dalam Warta.

BAHAGIAN VIII - PUNGUTAN KHAIRAT

Seksyen 84. Pungutan Khairat.

(1) Majlis boleh memungut, atau memberikan surat kebenaran dengan terma-terma yang difikirkan patut kepada mana-mana orang atau kumpulan orang, membenarkan orang atau kumpulan orang itu memungut wang atau sumbangan-sumbangan lain bagi apa-apa maksud khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah-faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.

(2) Maka hendaklah disifatkan sebagai satu terma tiap-tiap surat kebenaran itu bahawa penerima kebenaran itu dan tiap-tiap orang lain yang dibenarkan melaluinya untuk memungut wang atau sumbangan lain hendaklah---

(a) mengeluarkan berkenaan dengan tiap-tiap jumlah wang yang dipungut sedemikian suatu resit mengikut nombor siri dalam borang yang ditetapkan;

(b) menyimpan akaun-akaun yang benar dan lengkap bagi semua jumlah wang yang dipungut sedemikian dan tentang pelupusannya dengan semua baucer yang sepatutnya;

(c) mengemukakan apabila dituntut potongan resit dan semua akaun dan baucer-baucer itu bagi pemeriksaan dan pengauditan oleh Majlis;

(d) menggunakan dan melupuskan semua jumlah wang itu dibenarkan dengan nyata olehnya, membayar dan mengakaunkan kepada Baitulmal.

(3) Wang yang dipungut menurut seksyen ini bolehlah digunakan bagi apa-apa maksud yang dinyatakan oleh Majlis, dan jika tiada maksud dinyatakan oleh Majlis, dan jika tiada maksud dinyatakan sedemikian, hendaklah menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang.

(4) Tiada seorang pun boleh membuat atau mengambil apa-apa pungutan wang bagi apa-apa maksud seperti yang disebutkan terdahulu itu kecuali dengan kuasa nyata daripada Majlis atau menurut kuasa surat kebenaran dibawah seksyen (1).

(5) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (4) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau dipenjara tidak melebihi satu ribu ringgit atau kedua-duanya.

BAHAGIAN IX - MASUK ISLAM

Seksyen 85. Kehendak-kehendak bagi masuk Islam.

(1) Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi kemasukan sah seseorang itu ke dalam agama Islam :

(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahasa Arab secara semunasabahnya jelas;

(b) pada masa mengucap dua kalimah itu, orang itu mestilah sedar bahawa ia bermakna "Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W ialah Pesuruh Allah"; dan

(c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati orang itu sendiri.

(2) Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (a) subseksyen (1), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan cara isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (b) sebseksyen itu.

Seksyen 86. Saat masuk Islam.

Seseorang itu masuk Islam dan menjadi seorang Islam sebaik-baik sahaja dia habis mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan syarat bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 adalah dipenuhi, dan orang itu hendaklah selepas itu disebut sebagai seorang muallaf.

Seksyen 87. Tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan seorang muallaf.

Dari saat kemasukannya, seseorang muallaf menjadi tertakluk kepada tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang sama seperti mana-mana orang Islam yang lain.

Seksyen 88. Pendaftar dan Daftar Muallaf.

Seseorang Pendaftar Muallaf hendaklah dilantik oleh Majlis untuk menyelenggarakan suatu Daftar Muallaf dalam bentuk yang ditetapkan untuk pendaftaran muallaf.

Seksyen 89. Pendaftaran Muallaf.

(1) Seseorang yang telah masuk Islam boleh memohon kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk pendaftaran sebagai seorang muallaf.

(2) Jika Pendaftar berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 telah dipenuhi berkenaan dengan orang itu, Pendaftar boleh mendaftarkan kemasukan Islam orang itu dengan mencatatkan dalam Daftar Muallaf nama orang itu dan butir-butir lain sebagaimana yang dikehendaki dalam Daftar.

(3) Pendaftar hendaklah juga menentukan tarikh masuk Islam dan mencatatkan tarikh itu dalam Daftar Muallaf.

(4) Untuk memuaskan hatinya akan hal dan tarikh masuk Islam, dan butir-butir lain yang hendak dicatatkan dalam Daftar Muallaf, Pendaftar boleh membuat siasatan-siasatan dan memanggil apa-apa keterangan sebgaimana yang dia fikirkan perlu, tetapi subseksyen ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang Pendaftar daripada hanya bergantung kepada kata pemohon bagi kemasukan Islam itu setakat yang berkenaan dengan hal dan tarikh masuk Islam itu.

(5) Jika Pendaftar tidak berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 85 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon bagi kemasukan Islam, dia boleh membenarkan pemohon itu mengucap, di hadapannya atau mana-mana pegawainya, dua kalimah Syahadah mengikut kehendak-kehendak seksyen itu.

Seksyen 90. Perakuan Masuk Islam.

(1) Pendaftar hendaklah memberikan kepada tiap-tiap orang yang kemasukan Islamnya telah didaftarkan suatu Perakuan Masuk Islam dalam borang yang ditetapkan.

(2) Perakuan Masuk Islam hendaklah menjadi bukti muktamad akan hal-hal yang dinyatakan di dalamnya.

Seksyen 91. Pengiktirafan muallaf sebagai orang Islam.

(1) Seseorang yang telah masuk Islam dan telah didaftarkan dalam Daftar Muallaf hendaklah, bagi maksud mana-mana undang-undang Persekutuan atau Negeri, dan untuk semua masa, diperlakukan sebagai seorang Islam.

(2) Seseorang yang kemasukan Islamnyadan telah didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang mana-mana Negeri hendaklah, bagi semua maksud di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan bagi maksud-maksud menguatkuasakan di Wilayah-Wilayah Persekutuan peruntukan-peruntukan mana-mana undang-undang, diperlakukan sebagai seorang Islam.

Seksyen 92. Menentukan sama ada orang yang tak didaftarkan ialah seorang muallaf.

Jika apa-apa soalan timbul dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan sama ada seseorang itu adalah seorang muallaf, dan orang itu tidak didaftarkan dalam Daftar Muallaf atau di bawah mana-mana undang-undang mana-mana Negeri sebagai seorang muallaf, soalan itu hendaklah diputuskan berdasarkan kepada merit kes itu megikut seksyen 85.

Seksyen 93. Kesalahan memberi maklumat palsu.

Mana-mana orang yang, dalam suatu permohonan untuk pendaftaran di bawah seksyen 89, atau sebagai jawapan kepada apa-apa permintaan untuk maklumat atau keterangan yang dibuat oleh Pendaftar di bawah seksyen itu, dengan sengaja memberi kepada Pendaftar apa-apa maklumat atau keterangan palsu atau yang mengelirukan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Seksyen 94. Kuasa membuat kaedah-kaedah.

Majlis boleh membuat kaedah-kaedah bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan Bahagian ini.

Seksyen 95. Keupayaan masuk Islam.

Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan---

(a) mencapai umur lapan belas tahun; atau(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

BAHAGIAN X - PENDIDIKAN ISLAM

Seksyen 96. Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama.

(1) Majlis hendaklah melantik suatu jawatankuasa yang hendaklah dikenali sebagai Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama, yang hendaklah terdiri daripada---

(a) seorang Pengerusi; dan

(b) tidak kurang daripada tiga orang yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang sesuai.

(2) Setiausaha Majlis hendaklah menjadi setiausaha kepada Jawatankuasa itu dan hendaklah bertanggungjawab bagi melaksanakan keputusan-keputusan jawatankuasa itu.

(3) Jawatankuasa hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud mengajar mengenai apa-apa aspek agama Islam dan untuk menarik balik tauliah sedemikian.

(4) Majlis, dengan kelulusan Menteri, boleh membuat kaedah-kaedah yang mengadakan peruntukan bagi---

(a) prosedur, kehendak-kehendak dan perkara-perkara lain berhubungan dengan pemberian tauliah di bawah seksyen ini, termasuk fee-fee yang boleh dikenakan;

(b) prosedur jawatankuasa itu;

(c) elaun yang patut dibayar kepada anggota-anggota jawatankuasa.

Seksyen 97. Sekolah Agama.

Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk mendaftar sekolah-sekolah Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Seksyen 98. Pengecualian.

Majlis boleh mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada mana-mana peruntukan Bahagian ini.

BAHAGIAN XI - AM

Seksyen 99. Kaedah-kaedah.

Yang di-Pertuan Agong boleh, atas nasihat Majlis, membuat kaedah-kaedah, yang hendaklah disiarkan dalam Warta, bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan Akta ini, dan khususnya, tetapi tanpa menjejaskan kelulusan yang terdahulu, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan bagi---

(a) prosedur Majlis, bentuk dan cara penyempurnaan suratcara-suratcara oleh Majlis, dan perlantikan pegawai-pegawai bawahan Majlis;

(b) fee-fee yang kena dibayar berkenaan dengan apa-apa tindakan atau perkara yang dilakukan di bawah atau menurut Akta ini, dan cara menungut dan melupuskan fee-fee itu;

(c) perlantikan jawatankuasa-jawatankuasa Majlis dan kuasa-kuasa, kewajipan-kewajipan dan prosedurnya;

(d) borang-borang, daftar-daftar, buku-buku akaun, laporan-laporan, akaun-akaun, anggaran, dan dokumen-dokumen lain yang hendak digunakan berkenaan dengan apa-apa tindakan atau perkara yang dilakukan di bawah atau menurut Akta ini;

(e) pengelolaan mana-mana pungutan khairat dan pelupusan hasilnya;

(f) pengelolaan mana-mana masjid atau surau atau tanah perkuburan dan semua perkara yang berhubungan dengannya;

(g) kuasa-kuasa dan tugas-tugas Pegawai Masjid;

(h) penentuan dan penyiaran sempadan-sempadan kariah Masjid;

(i) jagaan dan pengajaran bagi muallaf, dan cara mendaftarkan muallaf;

(j) pendaftaran sekolah-sekolah Islam dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran agama.

Seksyen 100. Kecualian kaedah-kaedah dan perlantikan-perlantikan.

Semua kaedah-kaedah, perisytiharan, perintah, notis, borang, surat kebenaran dan perlantikan yang dikeluarkan atau dibuat di bawah atau menurut kuasa mana-mana undang-undang bertulis yang dimansuhkan oleh Akta ini hendaklah terus berkuatkuasa, setakat yang ia tidak bertentangan dengan peruntukan-peruntukan Akta ini, sehingga dibatalkan atau digantikan oleh kaedah-kaedah, perisytiharan, perintah, notis, borang, surat kebenaran, atau perlantikan yang dikeluarkan atau dibuat di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini.

Seksyen 101. Peralihan.

Apabila mula berkuatkuasanya Akta ini, semua kuasa Mahkamah Kadhi Besar atau Mahkamah-Mahkamah Kadhi yang ditubuhkan di bawah seksyen 44 Enakmen hendaklah diambil alih atau dijalankan oleh Mahkamah-Mahkamah yang ditubuhkan di bawah seksyen 40 dan mana-mana sebutan mengenai Mahkamah Kadhi Besar hendaklah disifatkan sebagai sebutan mengenai Mahkamah yang ditubuhkan di bawah subseksyen (2) seksyen 40. 

Seksyen 102. Pindaan seksyen 165 dan 166 Enakmen.

(1) Seksyen 165 Enakmen dalam pemakaiannya bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah dipinda dengan menggantikan perkataan-perkataan "112 of this Enactment, eracts any mosque, or dedicates or otherwise applies any existing building as of for the purposes of a mosque" dengan perkataan-perkataan "73 of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993, erects any building to be used as a mosque, or otherwise applies any building for the purposes of a mosque, or causes or permits any building to be used as a mosque".

(2) Seksyen 166 Enakmen adalah dipinda dengan memasukkan selepas perkataan "Kathi" perkataan "or a tauliah granted under subsection(3) of section 96 of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993". [Pin. Akta A931: s.5]

Seksyen 103. Pemberhentian pemakaian Enakmen.

Bahagian I, II, III, IV, V, VIII dan X (kecuali seksyen 52 hingga 93 dan 107 hingga 109) Enakmen hendaklah terhenti terpakai bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan.